CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 29087|Reply: 0

Syria, Lubnan jalin hubungan, akhiri perang saudara sejak 2011

[Copy link]
Post time 12-1-2025 10:26 AM | Show all posts |Read mode

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati (kiri), bersalaman dengan pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, sebelum pertemuan mereka di Damsyik, Syria. - Foto AFP

DAMSYIK: Pemimpin baharu Syria dan Perdana Menteri Lubnan semalam berjanji untuk membina hubungan yang lebih kukuh sewaktu lawatan sulung ketua kerajaan Lubnan ke Damsyik, sejak perang saudara pada 2011.

Lawatan Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, diadakan selepas kumpulan pemberontak menawan Damsyik pada Disember tahun lalu, sekali gus menamatkan pemerintahan rejim Bashar al-Assad.

Pentadbiran Lubnan sebelum ini enggan mengunjungi Syria berikutan ketegangan dalam negara itu susulan sokongan Hizbullah terhadap Bashar semasa konflik berlangsung.

Pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, menyatakan komitmen untuk memulakan lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara, beberapa hari selepas Lubnan yang dilanda krisis akhirnya dapat memilih presiden minggu ini, setelah dua tahun dibelenggu kebuntuan.

"Akan ada hubungan strategik jangka panjang antara kami dan Lubnan. Kedua-dua pihak mempunyai kepentingan bersama yang besar.




"Ini adalah masanya untuk memberi peluang kepada rakyat Syria dan Lubnan untuk membina hubungan yang positif," katanya sambil berharap Presiden Lubnan yang baharu, Joseph Aoun, akan membawa era kestabilan di negara itu.

Menurut Ahmed, era Syria yang baharu akan kekal neutral atau tidak memihak kepada mana-mana pihak di Lubnan dan beliau juga memberi jaminan akan cuba menyelesaikan masalah melalui rundingan serta dialog.

Bagi pihak Lubnan pula, Mikati mahu hubungan kedua-dua negara harus berdasarkan sikap saling menghormati, kesaksamaan dan kedaulatan.

Pihak berkuasa baharu di Syria berkata Ahmed turut menelefon Joseph semalam untuk mengucapkan tahniah.

Syria adalah kuasa dominan di Lubnan selama tiga dekad di bawah pemerintahan keluarga al- Aasad, dengan Presiden Hafez al-Assad pernah campur tangan dalam perang saudara pada 1975 hingga 1990 di Lubnan.

Pada 2005, anaknya, Bashar, mengumumkan pengunduran tentera Syria selepas berlaku protes besar, tercetus susulan pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafic Hariri.

Selepas memperbaiki hubungan dengan Damsyik, anaknya Saad Hariri adalah Perdana Menteri Lubnan terakhir yang mengunjungi ibu negara Syria pada 2010 sebelum perang saudara meletus.

Joseph pula, yang mengangkat sumpah jawatan pada Khamis, berikrar untuk merebut 'peluang bersejarah bagi memulakan dialog serius... dengan negara Syria'.

Dengan Hezbollah yang lemah selepas peperangan besar-besaran selama dua bulan dengan Israel akhir tahun lalu dan Bashar kini tiada, pemimpin Syria dan Lubnan dilihat bersedia bekerjasama bagi menyelesaikan isu-isu lama yang tertangguh.



Antaranya adalah kehadiran kira-kira dua juta pelarian Syria yang dikatakan Lubnan telah mencari perlindungan di negara itu sejak perang Syria bermula.

Kepulangan mereka ke Syria kini menjadi 'isu mendesak demi kepentingan kedua-dua negara', kata Mikati.

Mikati turut menyatakan bahawa keutamaan lain adalah 'melakar sempadan darat dan laut antara Lubnan dan Syria', sambil menggesa penubuhan jawatankuasa bersama untuk membincangkan perkara itu.

Lubnan berharap dapat melakar sempadan maritim bagi memulakan usaha penggalian gas luar pesisir selepas mencapai persetujuan sama dengan Israel pada 2022.

Perdana Menteri Lubnan berkata kedua-dua pihak menegaskan keperluan untuk 'pengawalan penuh ke atas sempadan darat, terutamanya di titik-titik sempadan haram, bagi membendung penyeludupan'.

Syria berkongsi sempadan sepanjang 330 kilometer (km) dengan Lubnan, tanpa penanda rasmi di beberapa kawasan, menjadikannya terdedah kepada penyeludupan. - AFP

Januari 12, 2025  sumber

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 12:47 AM GMT+8 , Processed in 0.035708 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list