Edited by maklukpenggoda at 11-1-2025 02:29 PM
Kalau diikutkan MPPD boleh haramkan terus operasi khemah biru ini, tetapi kami memikirkan nasib 33 keluarga ini yang hilang pendapatan serta mengambil kira rungutan pengunjung.
PORT DICKSON: Selepas hampir empat tahun menjadi isu hangat terutama di media sosial, 'khemah pasar malam' di pusat peranginan Pantai Teluk Kemang, di sini kini digantikan dengan payung pantai ala Bali.
EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar, berkata Majlis Perbandaran Port Dickson membelanjakan lebih RM200,000 bagi kelengkapan payung berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan penggunaan payung itu bermula esok membabitkan 33 plot atau pengusaha di kawasan Pantai Teluk Kemang.
"Isu khemah biru di sini menjadi isu sensasi yang hangat diperdebatkan warganet sejak 2020 yang kemuncak ia mendapat liputan segenap media cetak, elektronik dan media sosial tahun lalu.
"Pihak MPPD cuba mencari jalan penyelesaian secara situasi menang-menang dengan mengambil kira nasib pengusaha dan pandangan pengunjung. Hasil libat urus, kami tampil dengan payung pantai ini," katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, seramai 33 pengusaha menerima lesen perniagaan daripada MPPD pada Majlis Penyerahan Payung Pantai di Pantai Teluk Kemang, pagi tadi.
Arul Kumar berkata, dengan pelaksanaan penggunaan payung pantai itu, khemah biru tidak lagi dibenarkan beroperasi di mana-mana pantai di Port Dickson termasuk dibawa orang awam.
Jelasnya, isu khemah biru berlaku di Pantai Tanjung Biru, Pantai Cermin dan Teluk Kemang, namun pelaksanaan payung pantai hanya dilakukan dalam kawasan sepanjang 600 meter di Teluk Kemang.
"Setiap plot atau pengusaha disediakan lapan payung, lapan meja dan 16 kerusi santai. Semua kos pembelian peralatan ini ditanggung MPPD secara 'one-off'.
"Kaedah ini akan dipantau dalam tempoh enam bulan dan sekiranya masih berlaku pelanggaran syarat atau tidak terkawal, kaedah ini akan dibatalkan serta-merta," katanya.
Tambahnya, pelaksanaan kaedah berkenaan mungkin akan menyebabkan pendapatan pengusaha akan berkurangan, namun ia penyelesaian terbaik buat masa ini.
"Sebab itu kami mengambil jalan untuk 'menghalalkan' payung pantai ini dengan memberikan mereka lesen perniagaan dan membayar sewa peralatan," katanya.
Sementara itu, pengusaha khemah, Sanimah Sani Mohd, 50, berkata, dia membesarkan empat anak dengan mengusahakan khemah di pantai berkenaan sejak 20 tahun lalu.
"Sejak kena tutup bermula November lalu, pendapatan kami memang terjejas. Sebelum ini saya mampu memperolehi kira-kira RM1,000 sebulan dan berharap pelaksanaan kaedah baharu ini berjalan lancar," katanya.
|