Muslim Rohingya berjalan melalui perairan selepas mereka dibenarkan sementara oleh penduduk tempatan mendarat di pantai Ulee Madon, Aceh Utara, Indonesia - Foto REUTERS
JAKARTA: Lebih 200 Rohingya tiba perairan wilayah Aceh di Indonesia semalam, kata seorang pegawai hari ini.
Ia berlaku di tengah-tengah peningkatan jumlah ketibaan melalui laut penduduk tanpa kerakyatan di negara Asia Tenggara itu.
Etnik Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam berasal dari Myanmar dan mereka penduduk tanpa kerakyatan terbesar di dunia, sering melarikan diri daripada keadaan buruk di kem pelarian dengan menaiki bot tongkang ke Thailand atau Indonesia dan Malaysia yang majoritinya beragama Islam antara Oktober dan April apabila keadaan laut lebih tenang.
Menurut Ketua Komuniti Nelayan Aceh, Miftach Tjut Adek, lebih 200 orang etnik Rohingya tiba pada petang semalam di wilayah Peureulak Barat Aceh Timur di pulau Sumatera, di sebelah barat Indonesia.
Sementara itu, seorang pegawai di agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Faisal Rahman, berkata pihaknya sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan dan pasukannya menuju ke Peureulak Barat untuk tindakan lanjut.
Antara Oktober dan November tahun lalu, lebih 500 Rohingya tiba di Indonesia dengan menaiki bot.
Hampir sejuta Rohingya tinggal di kem di Bangladesh dalam apa yang disebut oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian Filippo Grandi sebagai 'kem pelarian kemanusiaan terbesar di dunia'.
Di Myanmar dengan rakyatnya majoriti Buddha, etnik Rohingya dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan dan dinafikan kewarganegaraan serta didera.
Lebih 2,000 Rohingya tiba di Indonesia pada 2023, data UNHCR menunjukkan lebih daripada jumlah ketibaan dalam empat tahun sebelumnya. - REUTERS
|