Edited by maklukpenggoda at 4-1-2025 01:10 PM
Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
KUALA LUMPUR: UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin depan yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti berkenaan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
"UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.
"Atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada 6 Januari 2025," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, sebagai parti yang konsisten memperjuang dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan serta penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertuan Agong.
"UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.
"Parti juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh ahli UMNO yang sudah menyatakan komitmen tinggi untuk memberi sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun hari ini, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
BH
|