Pempengaruh, Man Kulim 'Pening' meninggal dunia 2 minggu selepas kematian ibu
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 24, 2024 @ 9:00pm [email protected]
- Foto media sosial
ALOR SETAR: Pempengaruh media sosial yang dikenali di kawasan utara, Man Kulim 'Pening' dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Berita mengejutkan itu disampaikan rakan Allahyarham yang juga pempengaruh, Eira Aziera yang memuat naik video di laman sosial Facebook (FB) miliknya hari ini.
"Hai Asalamualaikum semua...kepada semua, Eira nak bagitau, tolong sedekahkan Al Fatihah kepada arwah Man Kulim kerana dia sudah tinggalkan kita, saya dapat info dalam pukul 6 petang tadi.
"Eira dalam perjalanan ke rumah arwah di Kulim dan jenazah akan dikebumikan, Eira tak pasti malam ini atau esok pagi dan sekarang jenazah ada di rumahnya di Kulim.
"Sesiapa yang nampak video ini, tolong sedekahkan Al Fatihah kepada arwah Man Kulim 'Pening' dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman, Amin," katanya melalui hantaran video berkenaan sebentar tadi.
Sementara itu, adik arwah dikenali sebagai Bunga Dhia melalui hantaran di FB memaklumkan, abang sulungnya itu meninggal dunia selepas Asar petang tadi dan dijangka dikebumikan di Kuala Muda, Penaga, Seberang Perai Utara.
Menurut perkongsian di FB adik Allahyarham itu, dia memaklumkan mereka sekeluarga menerima ujian ini walaupun berat apabila baru saja kehilangan ibu mereka yang meninggal dunia pada 11 Disember lalu.
Dalam pada itu, kebanyakan netizen turut bersedih atas pemergian Allahyarham Man Kulim 'Pening' yang pernah menceriakan orang ramai dengan aksinya yang bersaja.
Warganet turut meluahkan kesedihan di laman sosial sambil mendoakan semoga segala urusan pengebumian selesai dan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1340980/pempengaruh-man-kulim-pening-meninggal-dunia-2-minggu-selepas
|