KUCHING: Padah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Iris Awen Jon selepas tertuduh berusia 40 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah sebelum perbicaraan kes dimulakan.
Tertuduh didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) SOACA 2017, kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa yang pada ketika itu berusia 13 tahun dalam satu kejadian pada 2 Mei 2023 di dalam bilik dan ruang tamu di sebuah rumah di Jalan Sejijak di sini, antara jam 4 hingga 6.30 pagi.
Fakta kes mendedahkan mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa tertuduh telah menyentuh kemaluannya ketika mereka berada di ruang tamu rumah.
Mangsa juga menyatakan tertuduh menyuruh mangsa memegang dan memasukkan kemaluan tertuduh ke dalam mulut mangsa.
Ketika kejadian berlaku, tertuduh dari Sibu itu tinggal di rumah mereka semasa lawatannya ke Kuching, sementara ibu bapa mangsa sedang tidur dan mangsa sedang bermain permainan mudah alih di telefonnya. Sehubungan itu, ibu mangsa menghantar mangsa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, selain membuat laporan polis untuk tindak an selanjutnya.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa, malah pemeriksaan perubatan mengesahkan terdapat kesan luka pada kemaluan mangsa.
Justeru bagi pertuduhan pertama, mahkamah memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam bulan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh direman iaitu pada 19 Jun 2023 berserta dua sebatan.
Sementara bagi pertuduhan kedua, mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara lima tahun dan enam bulan berserta tiga sebatan, dengan hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta selepas menjalani hukuman bagi pertuduhan pertama.
Tertuduh juga diarahkan menjalani kaunseling pemulihan mengikut Seksyen 26 SOACA 2017 untuk tempoh dua tahun dalam tempoh tahanannya dan di bawah Seksyen 27 SOACA 2017, tertuduh turut diperintahkan menjalani pengawasan polis selama dua tahun selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian sementara tertuduh diwakili peguam.
|