Ramai tidak menyangka rejim keluarga Assad yang berkuasa selama lebih kurang 53 tahun (1971-2024) akhirnya tumbang pada 8 Disember 2024 lalu. Namun, penulis tidak akan mengupas siapa di belakang siapa dan kekompleksan percaturan politik yang berlaku di Timur Tengah.
Ini kerana perbincangan mengenainya pasti akan sampai ke titik kabur kerana masing-masing ingin dilihat bijak mengatur strategi dan bermain persepsi. Yang pasti tidak kabur ialah khabar yang diberitakan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam. Musuh boleh merancang dan menyusun langkah, yang menentukan hanyalah Allah SWT jua.
Barangkali sebelum ini ada yang melihat sebahagian hadis eskatologi kelihatan seolah-olah tidak menepati realiti yang berlaku. Namun, yakinlah bahawa apa yang dikhabarkan pasti akan tiba juga saatnya satu persatu, sama ada cepat atau lambat. Siapa menduga, pada hari ini kita melihat Dimasyq (sebutan Melayu: Damsyik) melaung takbir bebas daripada cengkaman sebuah rejim zalim. Laungan kebebasan yang mungkin tidak pernah didengarnya sejak lebih lima dekad lampau. Namun, itu bukanlah penamatnya. Episod perjuangan umat Islam di wilayah bergolak ini kelihatan masih panjang dan berliku.
Semoga pengalaman pahit dan getir yang dilalui mengajar mereka untuk menjadi lebih bijak, kuat dan berhemah tinggi. Ini kerana terdapat hadis yang mengisyaratkan mengenai kehebatan daya tempur mereka. Daripada Abu Hurairah RA katanya, "Rasulullah SAW bersabda: Jika berlaku peperangan-peperangan yang besar, maka Allah akan membangkitkan satu kumpulan daripada golongan al-mawali (golongan yang berjanji taat setia), mereka adalah orang Arab yang paling baik kudanya dan yang paling bagus senjatanya. Dengan merekalah Allah akan mengukuhkan agama ini." Dalam riwayat lain disebut: "…golongan al-mawali (golongan yang berjanji taat setia) itu dari Dimasyq." (Riwayat Ibnu Majah, Nu'aym bin Hammad dan al-Hakim, katanya: Sahih mengikut syarat al-Bukhari)
Selain Dimasyq, ada beberapa tempat lagi di Syria yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam berbagai hadis eskatologi. Beberapa tempat ini bakal menjadi pentas penting bagi peristiwa akhir zaman. Antaranya ialah Ghutah yang akan menjadi kubu kuat umat Islam. Daripada Abu Darda' RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya pangkalan (kubu) kaum muslimin saat terjadinya peperangan besar (al-malhamah) berada di Ghutah, suatu tempat berhampiran sebuah kota yang dipanggil Dimasyq, antara kota terbaik wilayah Syam." Dalam riwayat lain disebut: "…tempat tinggal terbaik kaum muslimin pada masa itu." (Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tabarani dan al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)
Diriwayatkan daripada Jubair bin Nufair katanya, "Seorang lelaki daripada sahabat Nabi Muhammad SAW menceritakan kepada kami, bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Syam akan dibukakan untuk kamu sekalian, maka jika kamu diberi kebebasan untuk memilih tempat tinggal di dalamnya, maka hendaklah kamu pilih sebuah kota yang dipanggil Dimasyq. Sesungguhnya ia adalah benteng kaum muslimin daripada peperangan- peperangan yang dahsyat, dan pangkalannya pula terletak di suatu tempat yang dipanggil al-Ghutah." (Riwayat Ahmad dengan sanad daif)
Antara kota lain Syria yang disebut dalam hadis ialah A'maq atau Dabiq, iaitu nama dua buah tempat berdekatan Aleppo. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah bangsa Rom akan turun berhimpun di A'maq atau Dabiq. Lalu, keluar menghadapi mereka sekelompok tentera dari Madinah, antara sebaik-baik penduduk bumi ketika itu. Maka tatkala mereka berhadapan, bangsa Rom berkata: 'Biarkanlah kami memerangi orang-orang yang mengambil tawanan daripada kami!' Namun, kaum muslimin menjawab: 'Tidak, demi Allah, kami tak akan membiarkan kalian memerangi saudara-saudara kami.' Maka, terjadilah peperangan antara mereka. Lalu ada sepertiga yang kalah namun Allah tidak akan mengampuni dosa mereka untuk selamanya, dan sepertiga lagi terbunuh sebagai sebaik-baik para syuhada' di sisi Allah, serta sepertiga lagi akan memperolehi kemenangan. Mereka tidak akan ditimpa sebarang fitnah selamanya, lantas mereka akan menakluki Konstantinopel." (Riwayat Muslim)
Hadis ini jelas menyatakan A'maq atau Dabiq merupakan tempat pertempuran besar (al-malhamah al-kubra) antara tentera Islam dengan tentera kafir. Dalam sebuah riwayat sahih menyebutkan, golongan kafir tersebut akan mengerahkan 80 pasukan tentera yang setiap satu pasukan terdiri daripada 10,000 perajurit, sebagaimana disebut dalam riwayat Ahmad. Manakala dalam riwayat al-Bukhari disebut 12,000 perajurit. Ini bererti jumlah kekuatan mereka cukup besar antara 800,000 hingga 960,000 orang! Semoga Allah SWT memberikan kekuatan buat umat Islam bagi menghadapi segala bala dan fitnah akhir zaman yang begitu dahsyat.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Youtube ni tentu bercanggah dengan pendadapat ramai orang
Turki support jihadis di syria tumbangkan assad. Rusia dan iran tak termakan umpan untuk masuk campur di syria. Syria akan jadi mcm libya, resistant sana sini. Turki me war warkan pro islam, palestin tapi perbuatan nya menunjukkan sebaliknya. Turki semangat kenegaraan dan ada hubungan dgn israhell dan usa. Turki / edogan adalah next iraq / saddam. Penaklukan konstatinople.