|
SETIU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan susulan keadaan banjir yang serius di dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan tambahan segera disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) masing-masing RM25 juta untuk Terengganu dan Kelantan yang akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut, Terengganu.
Katanya, kedua-dua negeri itu sebelum ini masing-masing menerima RM50 juta, namun peruntukan tambahan diberikan susulan keadaan banjir yang lebih serius.
"Kerajaan Persekutuan akan beri kerjasama penuh dan bantuan diperlukan bagi meringankan beban mangsa banjir ini. Untuk Kelantan dan Terengganu seperti kita umumkan, masing-masing menerima RM50 juta yang sudah disalurkan, tetapi saya dapat maklumat lagi mengenai keperluan terakhir ini.
"Jadi, kita luluskan tambahan RM50 juta lagi kepada dua negeri itu kerana nampak jumlah yang terkesan jauh lebih besar daripada unjuran awal.
"Ini bermakna tambahan RM25 juta saya umum hari ini menjadikan jumlah RM75 juta masing-masing untuk Kelantan dan Terengganu," katanya kepada media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut melawat SK Mangkok di sini.
Perdana Menteri berkata, pihaknya menjangka RM1 bilion diperlukan untuk bantuan banjir di seluruh negara.
"Untuk negeri lain, kita sedang pantau ,saya tidak mahu jadi salah faham dan akan memenuhi keperluan yang saya jangka jumlah keseluruhan bantuan banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion," katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam di Terengganu.
Katanya, ia membabitkan lebih 14,000 penjawat awam Terengganu dengan peruntukan keseluruhan akan disalurkan kerajaan negeri sebanyak RM7.4 juta
"Kita tengok semua bertugas dengan baik, alhamdullilah, tengok Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, pejabat daerah, hospital, jururawat... jadi saya sangat terkesan dengan cara khidmat mereka itu tanpa lelah.
"Seperti Menteri Besar (Ahmad Samsuri) pernah sebut, ganjaran untuk penjawat awam Terengganu ini 14,000 orang (beri) RM500, jadi saya setuju luluskan, maknanya untuk bulan ini RM500 yang berjumlah sekitar RM7.4 juta," katanya.
Sumber – BH ONLINE |
|