CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11525|Reply: 0

[Pulau Pinang] Empat 'pengutip hutang' tak mengaku bawa lari, kurung wanita Indonesia

[Copy link]
Post time 13-12-2024 11:47 AM | Show all posts |Read mode
Empat 'pengutip hutang' tak mengaku bawa lari, kurung wanita Indonesia

Siti Aminah Mohd Yusof[email protected]




Empat sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan melarikan secara paksa dan melakukan kurungan salah terhadap seorang wanita warga Indonesia pada awal Disember lalu. FOTO MIKAIL ONG




Georgetown: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang wanita Indonesia secara salah di sebuah kondominium di Jalan Baru Perai, dekat sini pada 5 Disember hingga 7 Disember lalu.

Tertuduh, R Narindran, 30, M Areveen Raj, 28, R Jayruban, 25, dan Mohamad Syafiq Segnar Abdullah, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas melarikan secara paksa seorang wanita Indonesia berusia 41 tahun di tepi Jalan Kelawai yang terletak dalam Daerah Timur Laut.

Keempat-empat tertuduh didakwa dengan niat telah menyebabkan kurungan salah terhadap wanita itu dalam sebuah unit Kondominium Palma Laguna Water Park, Jalan Baru, Perai dan kesalahan itu dilakukan antara jam 8 malam hingga 11.45 pagi pada 5 Disember hingga 7 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.

Semasa prosiding, Nurul Atikah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh namun pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung perkara itu.

Mahendran kemudiannya memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dan memaklumkan tertuduh pertama Narindran yang bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan RM1,800 sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia lapan bulan selain perlu menanggung kedua orang tuanya.

"Manakala, Areveen yang bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji kira-kira RM2,000 bertanggungjawab menanggung ibunya yang sakit dan Jayruban yang juga bekerja sebagai pemandu lori adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga perlu menyara ibu serta adik-adiknya.

"Tertuduh terakhir, Mohammad Syafiq pula bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan perlu menanggung kakaknya yang sakit dan anak saudaranya," katanya.

Siti Nurul Suhaila membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu melarang mereka mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebuah portal berita pada 8 Disember lalu melaporkan tiga lelaki disyaki terbabit kegiatan 'along' direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes culik membabitkan seorang wanita Indonesia sehingga 11 Disember lalu.

Berdasarkan laporan itu, mangsa yang juga pekerja bahagian pembersihan bersama dua lagi rakan senegaranya melakukan pinjaman masing-masing berjumlah RM1,000 pada tahun lalu.

Difahamkan, dua rakannya gagal membayar pinjaman tersebut sebelum suspek bertindak melarikan mangsa menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri selepas dikurung di sebuah kondominium selama dua hari sebelum membuat laporan polis dengan bantuan penduduk tempatan di kawasan berkenaan.



Disiarkan pada: Disember 13, 2024 @ 11:28am

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1165699/empat-pengutip-hutang-tak-mengaku-bawa-lari-kurung-wanita-indonesia




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 08:00 PM GMT+8 , Processed in 0.053759 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list