Edited by sfhzuraz at 11-12-2024 01:36 PM
Perlis capai sifar miskin tegar empat bulan berturut-turut
11 Disember 2024 12:20pm
Persidangan DUN Perlis diberitahu negeri itu telah mencapai sifar miskin tegar bagi tempoh empat bulan berturut-turut sejak September.
KANGAR - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Rabu diberitahu negeri itu telah mencapai sifar miskin tegar bagi tempoh empat bulan berturut-turut sejak September lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan negeri, Datin Marzita Mansor berkata, Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) antara usaha yang dilihat membantu Perlis untuk menambah pendapatan rakyat sekali gus menoktahkan kemiskinan.
“Program IPR ini dapat menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan. Hingga Oktober lepas, sebanyak 135 penduduk negeri ini telah menerima bantuan IPR.
“Daripada jumlah tersebut, 58 orang terlibat dengan IPR Usahawan Tani (INTAN), lapan orang Usahawan Makanan (INSAN) dan 69 orang IPR Inisiatif Basmi Miskin Tegar (BMT),” katanya menjawab soalan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong-PN) pada persidangan DUN di sini pada Rabu.
Fakhrul Anwar ingin tahu statistik terkini berkaitan golongan rakyat berkategori miskin dan miskin tegar di Perlis dan nilai garis kemiskinan terkini yang diguna pakai serta ciri-ciri dipertimbangkan kerajaan negeri dalam menentukan pengkelasan itu.
Marzita berkata, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (PPPN Perlis) mengguna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi sebagai rujukan aras pengukuran status kemiskinan semasa.
Beliau berkata, nilai yang diguna pakai untuk negeri Perlis ialah RM2,199 bagi kategori miskin dan RM1,145 bagi kategori miskin tegar.
IPR dilancarkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Februari 2023 bertujuan membantu golongan miskin tegar dan miskin serta B40 menjana pendapatan mampan.
Inisiatif itu membabitkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar Madani. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/701653/edisi/utara/perlis-capai-sifar-miskin-tegar-empat-bulan-berturut-turut
|