|
Projek This is Johan: A Bikin Sampai Jadi Story dihasilkan penyanyi rap, Joe Flizzow merangkul dua Anugerah Emas di Anugerah Kancil 2024, baru-baru ini.
Menerusi majlis yang mengiktiraf industri pengiklanan tempatan itu, Joe memenangi kategori Filem Fiksyen dan Bukan Fiksyen (5 minit ke atas) serta Pempengaruh dan Kolaborasi.
Joe mengakui, kemenangan itu memiliki nilai sentimental, berbeza dengan pencapaian yang diraih sebelum ini.
Ini kerana katanya, pengiklanan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya.
"Saya bangga dan gembira untuk keseluruhan pasukan atas anugerah ini. Terima kasih tak terhingga buat Pengarah Dokumentari, Barney kerana mempercayai visi yang diperjuangkan.
"Sebagai alumni dalam bidang pengiklanan semasa di kolej, Anugerah Kancil semestinya sasaran teratas buat pengamal industri pengiklanan di Malaysia.
"Trofi ini akan saya letakkan bersebelahan trofi MTV EMA dan anugerah lain yang pernah saya peroleh dalam bidang muzik," kata penyanyi lagu CIAO itu.
Pencapaian itu semestinya membanggakan Universal Music Malaysia, di mana Joe adalah Pengarah Urusan Def Jam SEA, label Hip Hop berpengaruh Asia Tenggara di bawah UMM sendiri.
Ditubuhkan sejak 2019, Def Jam SEA menghimpunkan lebih 25 bakat pelbagai latar belakang dari seluruh rantau ini.
Joe menjadi tunjang penting melonjakkan lagi label itu ke tahap tertinggi ke arah misi bergelar 'powerhouse' di Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia (UMM), Kim Lim menyifatkan Joe contoh tepat sebagai selebriti sejati yang terbukti memiliki faktor X dan dipercayai kerana impak positif dicetus kepada generasi berbeza.
"Berbeza dengan selebriti tradisional lain yang kebanyakannya enggan mendekati dan memahami audiens semasa, Joe adalah satu daripada pelopor industri yang kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
"Menerusi projek ini, Joe berkongsi kisah peribadi, buah fikiran dan pengalamannya yang membuka ruang untuk Gen Z dapat menyelami lagi dirinya. Keaslian sebeginilah mereka cari kerana lebih dekat dalam hati," katanya.
This is Johan: A Bikin Sampai Jadi Story mengisahkan perjalanan karier muzik Joe dalam bentuk dokumentari. Istimewanya, ia adalah dokumentari yang pertama dihasilkan berkaitan industri Hip Hop Malaysia.
Proses pembikinan belakang tabir merangkumi temubual selama 400 jam bersama rakan muzik, keluarga dan Joe sendiri yang mengungkap pelbagai sisi perjalanan hidupnya.
Dokumentari itu membawa penonton melalui saat namanya melonjak naik, kejatuhan yang dilalui dan usaha untuk bangkit semula.
Anugerah Kancil dianjurkan Pertubuhan Akreditasi Ejen Pengiklanan Malaysia (4As) dan sebanyak 234 anugerah untuk 10 kategori disampaikan, tahun ini.
Sumber : Berita Harian |
|