Alor Setar: Kerajaan memberi jaminan kebajikan kira-kira 1,000 kanak-kanak pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di negara ini adalah terjamin sepanjang proses penghantaran pulang mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Malaysia terikat di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 dalam memberikan perlindungan kepada golongan berkenaan.
Katanya, berikutan itu seramai 415 kanak-kanak warga asing berusia 10 tahun ke bawah bersama penjaga ditempatkan di pusat perlindungan Kompleks Baitul Mahabbah, Jabatan Imigresen.
"Daripada jumlah kira-kira 16,000 penghuni di Depoh Tahanan Imigresen seluruh negara, terdapat kira-kira 1,000 yang berumur 18 tahun ke bawah. Bagi yang ditempatkan di Baitul Mahabbah pula, kita menetapkan yang berusia 10 tahun ke bawah.
"Angka terkumpul kanak-kanak yang mendapat perlindungan di Baitul Mahabbah ketika ini adalah seramai 415 orang yang mana 128 sudah dihantar pulang.
"Sepanjang di Baitul Mahabbah, kebajikan mereka dan penjaga termasuk keselamatan, makan minum, perubatan, aktiviti harian dijaga kakitangan kita," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kompleks Baitul Muhabbah Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya mendapat peruntukan RM10 juta bagi membuka enam Kompleks Baitul Muhabbah iaitu di Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah, dan Johor pada tahun ini.
Katanya, kanak-kanak pendatang asing berkenaan ditempatkan di pusat perlindungan itu sehingga pihak kedutaan negara asal dapat menyiapkan dokumen perjalanan mereka.
"Berapa lama proses menyiapkan dokumen perjalanan ini? Ia bergantung kepada kedutaan negara berkaitan, ada yang dua hingga tiga bulan siap.
"Ada yang lebih enam bulan hingga setahun, ada kes yang ekstrem sehingga 10 tahun.
"Jadi sepanjang tempoh menunggu itu, kita terjemahkan rasa ehsan dan simpati kepada kanak-kanak melalui dasar yang menempatkan mereka dalam keadaan lebih kondusif dan terjaga.
"Ini penting kerana setiap kali saya berada dan berucap di pentas antarabangsa, fokus tentang Malaysia adalah kesesakan penjara, depoh tahanan.
"Jadi perlu ada penjagaan kebajikan terhadap golongan ini," katanya.
Terdahulu, pada sebelah pagi Saifuddin turut hadir Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Pembinaan Satu Blok Sekolah serta Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kulim, membabitkan peruntukan RM17 juta.
Majlis itu diadakan bagi membolehkan pengoperasian semula PUSPEN Karangan yang ditutup sementara sejak 1 Disember 2022.