PUTRAJAYA: Masjid-masjid utama bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disaran melaksanakan solat hajat untuk mendoakan kejayaan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Isnin depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata justeru masjid berkenaan terutama Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, diminta melakukan solat hajat itu selepas solat Isyak, mulai hari ini hingga Isnin depan.
Beliau berkata, semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut dimohon melaksanakan solat hajat itu untuk tempoh yang sama.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri atas ketegasan membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin, pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam.
"elaksanaan solat hajat ini adalah untuk memohon doa dan perlindungan daripada Allah SWT agar perjalanan serta misi Perdana Menteri mendapat keberkatan dan mencapai kejayaan demi manfaat negara serta ummah," katanya.
Mohd Na'im berkata, pelaksanaan solat hajat itu diharap dapat meningkatkan solidariti umat Islam di seluruh negara, sekali gus menyatukan hati rakyat Malaysia dalam mendoakan misi penting berkenaan.
Beliau berkata, Anwar akan menyampaikan suara serta harapan negara di pentas antarabangsa pada sidang kemuncak itu yang dijangka turut membincangkan isu-isu kritikal membabitkan negara-negara Islam.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama menyertai solat hajat ini sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada pemimpin kita, serta turut mendoakan kesejahteraan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang bertugas di Lubnan.
"Semoga usaha kita diberkati Allah SWT, dan Malaysia terus kekal aman serta sejahtera bawah lindungan-Nya," katanya. – BERNAMA
Ini statement bunuh diri I know. Truth hurts, deeper tr ...
setahu iols, qunut nazilah tu ada je buat secara konsisten kat masjid2 besar terutamanya. Baru stop dalam Ogos/Sep tahun ni tak silap. Surau2 kecik tak berapa pastilah