|
KUALA SELANGOR – “Nyawa masih panjang dan mujur kami sempat keluar menyelamatkan diri daripada dilanggar treler itu”.
Itu kata Mohd. Arif Ariffin, 29, pengawal keselamatan yang nyaris maut selepas sebuah treler merempuh tembok dan pondok Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku ketika dia dan rakan sekerjanya, Azmi Mohamed, 55, berada di dalam pondok keselamatan tersebut.
Menurut Mohd. Arif, ketika kejadian dia selesai makan dan membasuh tangan di paip yang terletak kira-kira tiga meter dari pondok itu.
“Saya kemudian masuk semula ke dalam pondok dan berbual dengan rakan (Azmi) namun tiba-tiba terdengar bunyi gegaran serta dentuman kuat,” katanya ketika ditemui di lokasi itu pagi tadi.
Tambah beliau, dia bersyukur kerana tidak berada di luar pondok keselamatan ketika kejadian berkenaan.
“Ia berlaku dalam sekelip mata dan sempat mendengar bunyi brek treler itu yang kuat dan merempuh tembok. Jika tiada tembok itu, mungkin ia telah mengorbankan nyawa kami,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.08 pagi.
“Bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 17 tahun yang terbabas serta turut melanggar sebuah kereta Naza Citra.
“Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu treler berjaya keluar dengan selamat,” katanya.
Sumber : – KOSMO! ONLINE |
|