CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 69117|Reply: 0

[Kedah] Muzium Arkelogi Lembah Bujang bukti Kedah Tua jadi pusat pertemuan pelbagai bangsa, budaya

[Copy link]
Post time 2-11-2024 05:13 PM | Show all posts |Read mode
Muzium Arkelogi Lembah Bujang bukti Kedah Tua jadi pusat pertemuan pelbagai bangsa, budaya

Oleh Noorazura Abdul Rahman - November 2, 2024 @ 4:45pm [email protected]




Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (tiga kanan) berkenaan melawat galeri yang mempamerkan pelbagai artifak penemuan tamadun Kedah Tua di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Sungai Petani, selepas merasmikannya hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri Perpaduan, K K Saraswathy (dua kanan). - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman





SUNGAI PETANI: Muzium Arkelogi Lembah Bujang di sini, yang mempamerkan pelbagai jenis artifak membuktikan Kedah Tua menjadi pusat pertemuan pelbagai bangsa, budaya dan amalan kepercayaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata penemuan artifak ini juga menunjukkan wujudnya hubungan dagangan yang erat antara Kedah Tua dan tamadun lain.

Katanya, sejarah panjang Kedah Tua bermula sejak abad ke-2 Masihi membuktikan kawasan berkenaan pernah menjadi pusat perdagangan dan tamadun ulung yang menghubungkan dunia luar termasuk tamadun besar seperti India, China, Timur Tengah dan Nusantara.

"Kehebatan tamadun ini tidak hanya terserlah pada tinggalan sejarah, tetapi juga pada nilai-nilai yang diwarisi kini," katanya pada majlis perasmian Program Citra Nusa@Muzium Arkelogi Lembah Bujang dan Pameran Galeri Sejarah Arkelogi Lembah Bujang di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, K Saraswathy.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muzium Arkeologi Lembah Bujang memiliki dua galeri pameran iaitu Galeri Arkeologi Lembah Bujang, mempamerkan artifak yang ditemui sepanjang kerja-kerja ekskavasi arkeologi sejak 1840-an.

Sebuah lagi ialah Galeri Sejarah Perdagangan Lembah Bujang yang mempamerkan artifak-artifak perdagangan berdasarkan peranan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan entrepot utama, dalam rangkaian perdagangan maritim yang menghubungkan tamadun besar seperti India, China dan Timur Tengah dengan Kepulauan Melayu.

Aaron berkata penemuan terkini di Bukit Choras dalam daerah Yan juga membuka lembaran baru dalam bidang arkeopelancongan di Kedah.

Katanya, pasukan penyelidik dari Pusat Penyelidik Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui serpihan tembikar tanah dan tiga prasasti yang mengandungi mantra menceritakan tentang doktrin agama Buddha.

"Penemuan ini juga termasuk sebuah arca Buddha bersaiz manusia yang diperbuat daripada stuko iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir.

"Penemuan ini dengan jelas mengukuhkan lagi kedudukan Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1318925/muzium-arkelogi-lembah-bujang-bukti-kedah-tua-jadi-pusat-pertemuan





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-12-2024 07:44 PM GMT+8 , Processed in 0.038815 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list