|
Melaka: Kementerian Ekonomi sedang memuktamadkan butiran kategori kumpulan T15 dengan Kementerian Kewangan sebelum membentangkannya kepada Kabinet dalam tempoh sebulan lagi untuk kelulusan, kata Menteri Rafizi Ramli.
Beliau berkata, tempoh sebulan diperlukan untuk menyediakan kerangka yang lebih tepat bagi kumpulan T15, yang akan ditentukan berdasarkan lokaliti dan bukannya definisi nasional seperti dalam dasar terdahulu.
Katanya, individu yang diklasifikasikan sebagai berpendapatan tinggi atau lebih dikenali sebagai T15 akan ditentukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih atau 'net disposable income' serta lokasi tempat tinggal mereka.
"Ini kerana, penentuan kadar pendapatan boleh belanja bersih tidak boleh diselaraskan secara 'pukul rata' tanpa mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut sesuatu lokaliti.
"Justeru, kita anggarkan kira-kira 10 juta isi rumah di seluruh negara yang akan dinilai semula sama ada sesuai diklasifikasikan dalam kumpulan T15 dan penilaian teliti berdasarkan pelbagai platform pangkalan data seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU)," katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Hotel Hatten, Banda Hilir di sini yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Rafizi berkata, kerajaan akan memuktamadkan perkara sejurus penilaian dan penelitian selesai dibuat bersama beberapa pihak termasuk Kementerian Kewangan.
" enilaian itu perlu dibuat secara teliti kerana tidak semua individu berpendapatan RM10,000 ke atas boleh dikategorikan sebagai T15 kerana ia berdasarkan kepada lokasi kediaman seseorang itu.
"Kalau di kawasan Kuala Lumpur atau pusat bandar lain, jumlah RM10,000 tidaklah dimasukkan dalam T15 tapi kalau di Gua Musang (orang di situ) memang kayalah," katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilaporkan mengakui, kerajaan belum memuktamadkan jumlah tangga pendapatan bagi klasifikasi kelompok 15 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi atau lebih dikenali T15, yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi tahun depan.
Ketika menjelaskannya, Perdana Menteri menafikan anggapan dan fahaman sebilangan pihak yang secara pasti mentakrifkan bahawa T15 yang akan dikecualikan daripada subsidi tahun depan adalah isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas seperti takrifan dipakai pada masa kini.
SUMBER : – Harian Metro |
|