|
Tanpa rasa jijik atau geli, tindakan selebriti versatil Alif Satar menyodok najis kerbau yang bertaburan di atas jalan raya dilambung pujian netizen.
Menerusi video dimuat naik dalam Instagram, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 34 dilihat membersihkan najis tersebut menggunakan cangkul bagi memudahkan orang ramai melalui jalan tersebut.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika penyanyi itu sedang melakukan rutin senaman hariannya di sekitar kawasan berkenaan.
“Hari ini berbeza sikit sesi senaman aku, siapa punya kerbau ini? Baik mengaku.
“Siapa sangka tengah-tengah bandar urban pun ada tahi kerbau tengah jalan.
“Kalau tengah malam dia melintas, orang tak nampak memang bahaya,” selorohnya menerusi kapsyen.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu yang sentiasa menyebarkan kebaikan selain konsisten menunjukkan contoh yang baik kepada khalayak.
“Terima kasih Alif kerana tidak pernah gagal menunjukkan contoh yang baik. Pahala pagi Jumaat, memudahkan laluan orang awam,” komen seorang netizen.
“Ini jalan yang saya selalu lalu, terima kasih Alif, entah siapa punya kerbau lah berak merata, memang membahayakan, mujur ada insan baik macam Alif tak rasa jijik nak tolong buangkan,” demikian komen seorang netizen.
Bukan itu sahaja, ada juga netizen mencadangkan bapa kepada tiga cahaya mata itu menjadi wakil rakyat di kawasan itu agar kebajikan penduduk sentiasa terjaga di bawah pimpinannya.
Sumber – KOSMO! ONLINE
|
|