|
SEOUL: Kim Yo Jong yang juga adik kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, mengkritik kehadiran kapal selam nuklear Amerika Syarikat (AS) di pelabuhan Korea Selatan Busan, kata media kerajaan KCNA, hari ini.
Lapor KCNA, Yo Jong menyebutnya sebagai bukti cita-cita AS untuk 'mengeluarkan aset strategik nuklearnya, mempamerkan kekuatan dan meningkatkan ancaman'.
Agensi berita Yonhap yang memetik tentera laut Korea Selatan, berkata USS Vermont tiba di pangkalan tentera laut di Busan, semalam untuk pembekalan semula dan membenarkan anak kapal berehat.
Kenyataan Yo Jong yang dikeluarkan selepas Menteri Luar Korea Selatan, AS dan Jepun mengadakan mesyuarat di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Kementerian Luar Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, mereka menyatakan kebimbangan mengenai pendedahan Korea Utara baru-baru ini mengenai kemudahan pengayaan uranium dan meneruskan kerjasama ketenteraan 'tidak sah' dengan Russia, dan bersetuju untuk berusaha ke arah merealisasikan sidang kemuncak tiga hala dalam tahun ini - REUTERS
Sumber : Berita Harian |
|