Alor Setar: Ibu bapa kepada tahanan Syarafi Abu, 33, yang terlepas hukuman tali gantung hari ini, akan terus berusaha memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Nur Syuhada Johari, selepas mencuba melakukannya sejak sembilan tahun lalu.
Abu Husin, 64, dan isterinya, Robiah Alwi, 62, berkata, mereka reda dengan ketentuan yang perlu ditanggung Syarafi akibat perbuatannya itu, namun tetap bersyukur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Katanya, tidak ada ibu bapa yang sanggup melihat anak sendiri dihukum mati, justeru hukuman penjara 38 tahun yang dikenakan ke atas Syarafi memberi mereka sedikit kelegaan.
"Kami memang reda, hendak buat macam mana semua ini Allah yang tentukan. Dia terlepas hukuman gantung, tapi penjara 38 tahun memang maksimum, terima kasih juga kepada mahkamah kerana melepaskan dia dari tali gantung.
"Jika tidak dahulu hukuman dia memang gantung, tapi apabila kerajaan tukar hukuman, ia beri kami sedikit harapan. Ketika jumpa Syarafi minggu lalu di Penjara Pokok Sena, dia memang takut hukuman dikekalkan, tapi peguam minta kami sabar dan janji akan bantu," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.
Abu berkata, selepas ini dia akan terus cuba menemui ibu bapa Nur Syuhada kerana sememangnya mengenai keluarga arwah kerana rumah mereka berdekatan sebelum ini di Jitra.
"Saya ada cuba jumpa keluarga arwah Nur Syuhada selepas kejadian, tapi kawan-kawan pesan jangan jumpa dahulu. Niat saya cuma mahu minta maaf, perkara sudah berlaku dan kita tak dapat buat apa-apa, cuma dapat minta maaf sahaja.
"Insya-Allah biar mereka sejuk dahulu, selepas ini saya akan cuba minta maaf lagi. Sejak mereka berpindah ke Alor Setar, saya tidak lagi pernah menemui mereka," katanya.
Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini, menukar hukuman mati ke atas Syarafi kepada penjara 38 tahun dan 14 sebatan mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023.
Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan memerintahkan hukuman penjara ke atas Syarafi berjalan serentak dari tarikh dia ditahan pada 1 Februari 2015.
Dalam kejadian 2015 itu, Syarafi didakwa membunuh Nur Syuhada yang juga pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hotel UiTM Pulai Pinang, di Kilometer 228.2 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Bukit Gantang, Perak, pada 11.55 pagi, 2 Februari 2015.
Dalam kejadian itu, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum Nur Syuhada dikelar di leher dan ditinggalkan di lebuh raya sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta.