Georgetown: Pokok sebesar dua pemeluk dewasa berukur lilit kira-kira dua meter tumbang merentangi Jalan Paya Terubong, di sini, hari ini.
Difahamkan, kejadian itu menyebabkan jalan dua hala berkenaan hanya boleh dilalui motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.55 pagi.
Katanya, sebaik tiba, didapati pokok tumbang itu menghalang laluan dan berada di cerun bukit.
"Tindakan awal dilakukan pasukan penyelamat termasuk membersihkan ranting yang patah dan daun.
"Selepas penilaian dibuat, didapati ada risiko pokok menggelongsor kerana ia berlaku di cerun bukit," katanya ketika dihubungi, di sini.
Katanya, kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kontraktor turut hadir ke lokasi untuk kerja pemotongan berikutan pokok berkenaan terlalu besar.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi kenyataan berkata, laluan berkenaan sudah dibuka semula kira-kira 10 pagi tadi kepada semua kenderaan.