Georgetown: Laluan antara Jalan Lembah Permai ke Loji Rawatan Air Guillemard di Tanjung Tokong di sini, ditutup selama tiga hari dan dijangka dibuka semula esok.
Ia susulan kerja pemotongan pokok tumbang dan pembersihan kawasan di laluan berkenaan.
Wakil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, kerja pembersihan itu membabitkan perbadanan berkenaan dengan permit yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Berdasarkan permit yang dikeluarkan, jalan itu ditutup kepada laluan orang ramai selama tiga hari bermula semalam.
"Penutupan juga adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di laluan itu terjamin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video di WhatsApp yang memaparkan puluhan kenderaan yang melalui laluan alternatif dari Georgetown ke Batu Ferringhi itu terpaksa berpatah balik susulan penutupan.
PBAPP berkata, pihaknya menafikan bahawa penutupan itu dilakukan kerana terdapat kejadian tanah runtuh di laluan berkenaan.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati tiada kenderaan dibenarkan melalui jalan yang terletak di lereng bukit itu dan dua petugas melakukan pengawasan.
Difahamkan, penutupan membabitkan laluan sejauh 2.2 kilometer sehala dan pengguna jalan raya dari arah Georgetown boleh menggunakan laluan Jalan Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah bagi ke Batu Feringghi dan Teluk Bahang dan sebaliknya.