Anggota APM Limbang ketika melakukan pemantauan kawasan berisiko dinaiki air.
LIMBANG: Tiada kawasan terjejas dinaiki air setakat hari ini susulan hujan lebat yang berlaku pada malam Khamis.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata berkata sepasukan anggotanya melakukan pemantauan di dua kawasan berisiko dinaiki air iaitu di Jalan Batu Tiga dan Taman Damai bermula jam 9.31 malam.
“Sebaik tiba di Jalan Batu Tiga, hanya takungan air di jalan raya disebabkan hujan lebat dan kenderaan kecil masih dapat dilalui. “Manakala tiada kenaikan air di Taman Damai dan keadaan masih dalam terkawal,”katanya kepada media hari ini.
Bonnie turut menasihati orang ramai untuk sentiasa peka terhadap keadaan air dan berpindah jika tidak selamat.
“Setakat ini keadaan kawasan yang di pantau masih dalam keadaan selamat dan terkawal,”ujarnya lagi.
Terdahulu sepasukan anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Koperal (PA) Mohd Arif Midun membuat pemantauan di kawasan berisiko dinaiki air melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Operasi pemantauan kawasan berisiko dinaiki air Daerah Limbang malam Khamis ditamatkan pada jam 10.15 malam.
|