|
Johor Bahru: Jabatan Imigresen (JIM) Johor berjaya menggagalkan cubaan 257 warga asing pelbagai negara daripada lolos keluar menerusi dua pintu sempadan negara di bandar raya ini dan Gelang Patah.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, ia susulan langkah pihaknya memperketatkan kawalan dan penguatkuasaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah.
Katanya, operasi dijalankan semalam dan hari ini oleh Unit Penguat Kuasa dan Keselamatan BSI dan KSAB.
"Menerusi operasi di BSI semalam, seramai 169 warga asing dan 19 warga tempatan telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Warga ini merangkumi 43 warga Indonesia 43; Myanmar (33); Bangladesh (22); Pakistan (18); Singapura (14); China (10); India (8) dan Vietnam (4).
"Turut ditahan adalah warga Thailand dan Kemboja masing-masing tiga; manakala Nepal, Egypt dan Korea masing-masing dua orang serta masing-masing seorang warga Iran, Syria, Nigeria dan Algeria.
"Sementara operasi di KSAB hari ini pula menahan 80 orang termasuk warga Singapura, China, Bangladesh, Indonesia, India dan Itali, manakala 88 warga asing lagi telah dikenakan kompaun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata, kesemua warga asing serta 18 warga tempatan yang ditahan kini direman 14 hari untuk siasatan lanjut.
Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen; Seksyen 55 E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
"Kesemua warga asing yang ditahan itu telah melakukan kesalahan termasuk tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia selain tinggal lebih masa, menggunakan atau memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara palsu.
"Warga tempatan yang ditahan pula kerana membenarkan imigran
haram untuk masuk atau tinggal di mana-mana premis, selain menghalang pegawai imigresen dalam menjalankan tugas mereka.
"JIM Johor sentiasa menjaga kedaulatan dan keselamatan negara serta memperketatkan lagi kawalan terutama di pintu-pintu masuk negara
bagi mengekang isu pendatang asing tanpa izin (Pati).
"Jabatan ini juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berpotensi memberi ancaman pada keselamatan negara," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/08/1123194/257-warga-asing-tidak-sempat-lolos-pintu-sempadan
|
|