|
Penyanyi dan pelakon, Che Puan Jeslina Hashim, 46, selamat melangsungkan pernikahan dengan cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tuanku Ja'afar iaitu Tunku Eddy Nasruan Adi pada hari ini dalam satu majlis tertutup.
Berita gembira mengenai pernikahan pasangan ini dikongsikan pelakon dan pengacara popular, Che Puan Sarimah Ibrahim, 46, menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.
"Hari yang indah dan majlis yang indah meraikan akad nikah 'brother in law' saya @eddymudzaffar bersama 'sister in law' @jeslinahashim.
"Semoga Allah menjaga dan merahmati kalian berdua agar sentiasa gembira, sihat dan terus bersama hingga jannah (syurga)," tulis Sarimah pada ucapannya buat pasangan pengantin.
Pada majlis itu, Sarimah hadir bersama suaminya, Tunku Nadzimuddin yang juga cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10 dan anak mereka, Tunku Sofia Najihah, 4.
Dalam temubual dengan Harian Metro baru-baru ini, Jeslina berkata, segala persiapan menjelang hari pernikahan itu sudah siap sepenuhnya dan majlis akan diadakan di Kuala Lumpur.
"Tarikh pernikahan tiada simbolik apa-apa, tapi akan menjadi hari yang terbaik untuk tetamu yang hadir. Ia juga (majlis) akan diadakan secara tertutup.
"Majlis pernikahan itu hanya akan dihadiri keluarga kedua belah pihak," katanya mengakui Tunku Eddy menepati ciri-ciri lelaki yang dicari selain disenangi orang sekeliling.
Jeslina dan suaminya, Tunku Eddy juga difahamkan sudah lapan tahun menjalin hubungan cinta.
Terdahulu, Jeslina pernah mendirikan rumah tangga dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun bercerai pada Mac 2013.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Micah, 15, dan Keira, 13.
SUMBER: Harian Metro
|
|