|
KUALA LUMPUR: Impak kontroversi dana syarikat arak untuk sebuah sekolah yang menggemparkan negara dan kini masih lagi tular di media sosial adalah 99 peratus reaksi netizen negatif terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Itu adalah hasil analisis QGenAnalysts merujuk kepada kes tindakan sekolah vernakular atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menerima dana sumbangan syarikat minuman keras dan judi kemudian menjadi bertambah kontroversi apabila pimpinan pembangkang mengeluarkan pandangan masing-masing yang kemudian diberikan respons barisan pimpinan kerajaan.
Antaranya, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook yang menjelaskan bahawa syarikat arak telah lama mengumpul dana bagi pihak sekolah.
Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek pula bertegas bahawa setiap sumbangan perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga turut memberi ulasan bahawa penajaan terhadap ‘event’ (konsert amal) yang dibuat oleh syarikat itu, ia dianjurkan oleh persatuan ibu bapa (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah.”
“Dalam perkara ini, ia tidak pun menyebut bahawa sumbangan daripada syarikat minuman keras itu disalurkan kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud,” katanya lagi.
Sehubungan impak isu tersebut, tambah QGenAnalysts, netizen telah berlumba-lumba menyuarakan pendapat mereka menerusi tiga platform utama media sosial iaitu Facebook, TikTok dan X.
Di Facebook, 99 peratus negatif terhadap kerajaan campuran, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gerakan.
Majoritinya, netizen meluahkan rasa kurang senang dengan prestasi Menteri terbabit dalam menyuarakan pendapat dan menguatkuasakan garis panduan.
Dalam pada itu juga, netizen di ketiga-tiga platform itu juga menyelar Anthony Loke kerana campur tangan dan menjawab isu yang bukan dalam portfolio beliau.
Seterusnya, di TikTok pula, 95 peratus netizen condong ke arah negatif terhadap Menteri Pendidikan dan Menteri Pengangkutan.
Mereka merasakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) adalah milik kerajaan dan semestinya mengikut polisi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sementara di media X pula, 70 peratus kekal condong negatif terhadap kerajaan PH-BN dengan menyatakan bahawa arak bukanlah satu pengaruh yang baik untuk kanak-kanak sekolah.
Sungguhpun begitu, tambah kenyataan QGenAnalysts, netizen mempersoal jika syarikat arak dan judi boleh menyumbang, tidak mustahil bagi syarikat rokok dan rokok elektronik (vape) dibenarkan juga.
“Justeru, pandangan umum dalam kalangan netizen ini menunjukkan kebimbangan yang mendalam terhadap penerimaan sumbangan dari syarikat arak oleh sekolah-sekolah dalam membentuk akhlak dan jati diri anak-anak.
“Keresahan ini juga menonjolkan keperluan untuk penguatkuasaan garis panduan yang tegas oleh pihak berwajib bagi memastikan bahawa sumbangan yang diterima oleh institusi pendidikan adalah sesuai dan tidak menimbulkan kontroversi,” kata kenyataan itu.
Sumber : harakahdaily
Lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
Telegram Channel : https://t.me/+KyXuOvLcTgkxZWE1
Whatsapp Channel : https://whatsapp.com/channel/0029Vacxp9d9MF91QzmmW60X
Threads : https://www.threads.net/@caridotmy |
|