CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 25140|Reply: 2

[Pulau Pinang] 'Jiran telefon minta maaf, beritahu anak dia yang letak racun'

[Copy link]
Post time 10-7-2024 03:08 PM | Show all posts |Read mode
'Jiran telefon minta maaf, beritahu anak dia yang letak racun'

10 Julai 2024 01:28pm








Nurain




GEORGE TOWN - Jiran kepada dua beradik yang kritikal selepas makan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus ada menghubungi ibu kepada mangsa pada malam Selasa.

Nurain Hasnorizal, 25 berkata, ibu kepada jirannya itu menghubunginya pada jam 10 malam untuk meminta maaf terhadap kejadian berkenaan.



"Jiran ada telefon, 10 malam tadi (Selasa). Mak dia telefon minta maaf semua, beritahu anak dia yang letak racun tu.

"Saya kata tak apa lah, benda dah jadi, nak buat macam mana. Saya tak tahu nak kata apa, harap benda yang baik-baik saja.

"Saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh dalam keadaan macam ini. Kadang-kadang mak saya telefon pun (saya) tak sempat nak angkat sebab ada di dalam wad," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nurain berkata, dia juga reda apabila orang ramai menyalahkan dirinya dalam kejadian berkenaan.

"Biar la apa orang nak kata dalam tu (media sosial), kita saja tahu apa yang sebenarnya berlaku. Orang komen-komen saja, mereka tak tahu.

"Anak saya hanya bermain di luar rumah saja, kita tak biar anak-anak," tambahnya lagi.




Sebelum ini, Nurain dilaporkan berkata, dia masih tidak dapat memikirkan tindakan seterusnya terhadap jiran kerana ingin menumpukan perhatian kepada kedua-dua anaknya itu terlebih dahulu.

Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, sebelum ini dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil peket keropok yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun yang bertujuan bagi perangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pagi Rabu, Muhammad Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-7-2024 03:50 PM | Show all posts
Tragedi keropok racun, penduduk akan lebih berhati-hati


Zuliaty Zulkiffli[email protected]





POLIS memeriksa lokasi kejadian di Kampung Padang Ubi. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar.





Kulim: Penduduk Kampung Padang Ubi, di sini akan menjadikan kejadian dua beradik yang termakan keropok yang mengandungi racun tikus Ahad lalu, sebagai iktibar kepada mereka supaya lebih berhati-hati ketika memasang umpan bagi menangkap haiwan liar di kawasan itu.

Ini berikutan tindakan seorang pekebun meletakkan racun tikus dalam makanan ringan berupa keropok yang bertujuan mengusir monyet di kawasan berkenaan sebelum dimakan tetapi dimakan dua beradik terbabit.

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia awal hari ini di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih kritikal selepas tiga hari kejadian berlaku.

Penduduk kampung berkenaan, Hasma Mohamad, 57, berkata, kejadian tragis itu perlu menjadi pengajaran buat selama-lamanya kepada penduduk kampung atau di mana saja bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, walaupun peningkatan jumlah haiwan liar yang menceroboh tanaman dan harta benda penduduk kampung adalah perkara yang serius namun tindakan memasang racun atau perangkap perlu dilakukan dengan berhati-hati selepas ini.

"Semua orang perlu mengambil pengajaran di atas tragedi ini sebagai peringatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila berhadapan dengan haiwan liar atau mengendalikan sebarang jenis racun," katanya ketika ditemui hari ini.

Hasma yang juga suri rumah berkata, penduduk kampung pernah mengadu berkaitan kehadiran monyet dan babi hutan yang menceroboh tanah ladang mereka kerana tidak dapat tahan dengan kelakuan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Kampung (MKK) Kampung Padang Ubi, Inche Borhan berkata, ancaman haiwan liar sudah pun dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak lapan bulan lalu, namun mendakwa tiada tindakan diambil setakat ini.

Katanya, empat lagi kampung turut terjejas akibat ancaman itu antaranya Kampung Bikan, Kampung Patong, Kampung Petani, dan Kampung Bikan Atas.

"Kira-kira 5,000 orang terjejas dengan isu ini. Bagaimanapun, kejadian membabitkan dua beradik itu perlu ditangani demi keselamatan semua penduduk," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jamalul Nasir Ibrahim berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai gangguan monyet dan babi hutan di kawasan itu.

Beliau berkata, tindakan sudah pun diambil terhadap aduan di Labu Besar, menangani 18 aduan membabitkan monyet dan menghapuskan 52 monyet menggunakan perangkap dan kaedah pemusnahan.

Begitu juga, sembilan aduan mengenai babi hutan direkodkan, dengan sepuluh ekor babi dimusnahkan.

"Di Kampung Padang Ubi, Perhilitan turut mengendalikan satu aduan monyet pada Oktober 2021 dan satu aduan babi hutan pada Ogos 2022, mengakibatkan dua ekor babi hutan dimusnahkan," katanya.

Jamalul turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan bebas dalam menangani konflik hidupan liar.



Disiarkan pada: Julai 10, 2024 @ 2:52pm






Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-7-2024 03:59 PM | Show all posts
2 beradik termakan keropok beracun: Racun toksik tinggi boleh bawa kematian - Pakar kesihatan


Latifah Arifin - Julai 10, 2024 @ 2:55pm [email protected]





Ibu Muhammad Akil dan Muhammad Luth, Nurain Hasnorizal menunjukkan gambar dua anaknya yang menjadi mangsa keropok beracun. - Foto fail NSTP





KUALA LUMPUR: Kematian dalam jangka masa singkat akibat keracunan boleh berlaku sekiranya seseorang itu terdedah kepada jenis racun yang sangat bertoksik.

Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Hasni Ja'afar, berkata dalam situasi itu satu miligram (mg) dos racun sudah boleh meragut nyawa.

"Kematian dalam masa singkat akibat keracunan sering disebabkan dos racun yang tinggi bagi racun yang sangat toksik.

"Impaknya berbeza dengan racun yang kurang toksik, misalnya bagi dos 10 mg belum (dikira) tinggi," katanya kepada BH hari ini.






Beliau diminta mengulas kematian Muhammad Akil Syauqi, 3, hari ini selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, pada Ahad lalu.

Adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hasni berkata, ada kemungkinan dos racun itu menyerap pantas sehingga menyebabkan kegagalan proses pembekuan darah atau koagulasi.

"Bagi kejadian ini di mana kanak-kanak berkenaan dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus, selalunya racun jenis ini menyebabkan kegagalan koagulasi sistem darah yang menyebabkan pendarahan di seluruh anggota badan.

"Keadaan sangat kritikal sekiranya sistem otak dan paru-paru diserang menyebabkan kebanjiran darah dalam tisu otak dan pernafasan.

"Pada peringkat ini, rawatan segera mungkin sudah tidak berkesan," katanya.

Beliau berkata, jenis racun yang sangat toksik selalunya sangat mudah menyerap melalui sistem usus dan pernafasan.

"Ia lantas menyerang organ sasaran seperti sistem otak, hati, buah pinggang dan lain-lain. Selain itu faktor lain (yang berisiko menyebabkan kematian) adalah seperti kekurangan zat makanan.

"Organ hati kanak-kanak yang tidak matang turut boleh menyebabkan bahan racun yang memasuki dalam badan mangsa tidak dinyahtoksik dengan sebaiknya lalu menyebabkan kesan ketoksikan yang lebih teruk, berbanding mangsa yang cukup zat makanan dan yang lebih dewasa," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-1-2025 09:27 PM GMT+8 , Processed in 0.051847 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list