Bukit Mertajam: Bayi perempuan berusia 25 hari dari Sungai Petani, Kedah memerlukan dana RM100,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Nur Azkayra Yasmeen Muhamad Yusof yang dilahirkan pada 16 Jun lalu dikesan berdepan masalah jantung dan terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan.
Bapa kepada bayi terbabit, Muhamad Yusof Bokhri, 30, berkata anak keduanya itu sepatutnya keluar dari hospital sehari selepas lahir namun kadar oksigen dalam darahnya menurun sehingga 85 peratus.
"Anak saya kemudian dibawa ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) sebelum disahkan mengalami kecacatan jantung dan terpaksa bergantung oksigen.
"Dia menjalani pembedahan kecemasan untuk membesarkan saluran darah jantung pada hari kedua kelahiran iaitu dua minggu lalu sebagai langkah sementara.
"Oleh kerana keadaan semakin kritikal dan penurunan kadar oksigen, doktor memberitahu pembedahan harus dibuat segera dalam tempoh sebulan bagi menyelamatkan nyawanya namun saya tidak mampu membiayai kos rawatan yang mencecah sehingga RM100,000," katanya yang turut meminta bantuan Persatuan Kebajikan One Hope Charity and Welfare.
Selain Nur Azkayra Yasmeen, tentera laut di Langkawi, Kedah itu dan isterinya, Nur Atiqah Abdul Rahim, 32, turut mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 10 tahun.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau, berkata kedua ibu bapa Nur Azkayra Yasmeen buntu kerana tidak mampu menampung kos pembedahan terbabit memandangkan ia perlu dilakukan dalam tempoh singkat.
"One Hope Charity dengan persetujuan ibu bapa akan melancarkan kutipan dana bagi mengumpul kos pembedahan itu.
"Untuk pertanyaan lanjut (berhubung sumbangan) boleh layari onehopecharity.org," katanya.