ALOR SETAR: PERHILITAN Kedah sedia mengambil tindakan memasang perangkap untuk menangkap haiwan liar seperti babi hutan dan kera di Kampung Padang Ubi dan kawasan sekitarnya di Kulim, sebagai langkah mengurangkan masalah penduduk.
Pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim, meminta
penduduk di kawasan berkenaan membuat aduan terus kepada pihaknya bagi membolehkan tindakan segera diambil.
"Kita akan ambil tindakan memasang perangkap selain mengadakan operasi menembak babi hutan dan kera liar di kawasan itu jika didapati ianya turut mengancam penduduk.
"Namun, kita akan buat pemeriksaan dan melihat kesesuaian terlebih dulu di kawasan kampung berkenaan sebelum melakukan operasi menembak haiwan liar yang merosakkan tanaman penduduk.
"Ini kerana kita bimbang sekiranya peluru terkena penduduk kampung terutama kanak-kanak di situ," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media hari ini melaporkan, lebih 2,000 penduduk Kampung Padang Ubi, Kampung Patong dan Kampung Petani mendakwa kehadiran haiwan liar termasuk kera dan babi hutan semakin bertambah dan menyebabkan tanaman mereka rosak.
Mereka mendakwa pertambahan haiwan liar di kawasan itu dikesan sejak lapan bulan lalu dan Majlis Ketua Kampung (MKK) sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan namun setakat ini tiada tindakan diambil.
Penduduk mendakwa kebanyakan pemilik kebun terpaksa mengambil langkah memasang perangkap sendiri untuk mengusir haiwan liar dari merosakkan tanaman mereka.
Dua beradik, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas makan keropok yang digantung pada pagar dawai, didakwa mengandungi racun tikus.
Bungkusan makanan ringan itu dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.