CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 41235|Reply: 0

[Kedah] 'Saya sangka ada orang beri mereka keropok'

[Copy link]
Post time 8-7-2024 05:30 PM | Show all posts |Read mode
'Saya sangka ada orang beri mereka keropok'


Oleh Zuliaty Zulkiffli - Julai 8, 2024 @ 5:19pm [email protected]





Muhammad Nazar Abdullah dan isterinya, Saadiah Yaacob menunjukkan gambar cucunya, Muhammad Luth Syauqi Nur Sufian, 2, yang kritikal selepas termakan makanan ringan yang disyaki mengandungi racun. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli





Kulim: "Dua beradik itu kelihatan seronok sambil membawa dua bungkusan makanan ringan yang diikat dengan tali pulang ke rumah.

"Saya sangkakan ada orang bagi makanan ringan itu kepada mereka kerana nampak mereka seronok sangat sebelum saya keluar ke kebun getah berhampiran," kata Saadiah Yaacob, 62.

Saadiah adalah nenek kepada dua beradik, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, yang kritikal selepas makan makanan ringan yang disyaki mengandungi racun tikus di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini semalam.

Menurut Saadiah, pada mulanya, dua beradik itu mengikut datuk mereka, Muhammad Nazar Abdullah, 53, mencari lembu di kebun tidak jauh dari rumah.

"Masa itu saya nampak masuk rumah dengan membawa dua bungkusan makanan ringan itu dan menyangka ada orang beri pada mereka.

"Waktu tu saya tak nampak mereka makan kerana dua beradik itu terus masuk ke dalam bilik ibunya yang ketika itu sedang tidur kerana baru pulang kerja malam," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, hari ini.

Menurut Saadiah, dia kemudian keluar dan pergi ke kebun getah berhampiran meninggalkan dua beradik itu bersama ibunya.

Katanya tidak lama kemudian, dia ternampak ambulans masuk ke kawasan rumah dan jirannya memberitahu dua cucunya sudah pun dibawa ke klinik oleh jiran mereka.

"Waktu tu saya tak tahu apa lagi yang berlaku dan terus pulang ke rumah sebelum teringatkan makanan ringan yang dibawa pulang dua cucu yang dipercayai diambil dari pagar kebun rumah penduduk berhampiran rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah kami.

"Saya nampak dua bungkusan makanan ringan itu sudah terbuka di bahagian tengah dan hanya tinggal baki tiga keping dan mengesyaki mereka sudah makan keropok itu," katanya.

Menurut Saadiah, ibu dua kanak-kanak itu yang juga menantunya, Norain Hasnulrizal, 25, memberitahu, dia terkejut apabila melihat anak keduanya menggelupur seperti diserang sawan manakala si abang pula lemah dan muntah.

Katanya, dua cucunya kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka agak kritikal dan hanya menggunakan mesin bantuan pernafasan.

"Saya hanya berdoa kedua-dua cucu beransur sihat kerana sayalah yang menjaga sejak mereka lahir dan membesar dengan kami di sini.

"Saya agak kesal dengan apa yang berlaku kerana pemilik kebun itu menggantung makanan ringan itu di tepi pagar berdawai di tempat yang rendah dan mampu dicapai dua cucu," katanya.

Sementara itu, datuk mereka, Muhammad Nazar berkata, racun dalam makanan ringan itu berkemungkinan bukan racun tikus sebaliknya racun yang lebih kuat.

Menurutnya lagi, sepatutnya makanan ringan yang mengandungi racun itu diletakkan di tempat selamat dan bukannya di situ.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-1-2025 09:40 PM GMT+8 , Processed in 0.051175 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list