Michael Nyanamani, 56, tetap mengundi walaupun berkerusi roda sempena PRK DUN Sungai Bakap di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara. - Foto DANIAL SAAD
NIBONG TEBAL: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mencatatkan 31.84 peratus setakat jam 12 tengah hari, selepas empat jam pusat pengundian dibuka, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tinjauan mendapati, proses mengundi di sembilan pusat pengundian berjalan lancar dalam suasana cuaca baik setakat tengah hari ini.
Proses pengundian bermula jam 8 pagi hingga 6 petang ini sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
Seramai 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).