CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8065|Reply: 0

[Perlis] Sindiket jual RON95 seludup di Pasar Sempadan Wang Prachan

[Copy link]
Post time 26-6-2024 01:20 PM | Show all posts |Read mode
Sindiket jual RON95 seludup di Pasar Sempadan Wang Prachan


Aizat Sharif[email protected]




SEMPADAN Malaysia dan Thailand yang hanya di pisahkan dengan hutan menyukarkan aktiviti penyeludupan minyak di kesan.FOTO Wan Nabil Nasir





Wang Kelian: Tidak hanya bertumpu kepada komoditi seperti beras, gula, tepung dan minyak masak bersubsidi, Pasar Sempadan Wang Prachan yang terletak berhampiran Pos Sempadan Wang Prachan, Satun, yang menghubungkan sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, juga menjadi lokasi penjualan petrol bersubsidi RON95 Malaysia yang diseludup oleh sindiket ke Thailand.

Tinjauan Harian Metro mendapati, ada kedai runcit di pasar sempadan itu menjual bahan api berkenaan. Petrol berkenaan dijual dalam botol 1.5 liter pada harga 45 baht (RM5.76).

Malah, agak tidak logik untuk peniaga kedai berkenaan menjual petrol dari Thailand yang harganya 46.54 baht (RM5.96) seliter kerana tiada sebarang stesen minyak di radius tiga hingga ke lima kilometer berhampiran pasar sempadan itu.

Apabila ditanya kepada peniaga berkenaan sama ada bahan api itu datangnya dari Malaysia, dia hanya mengangguk.





Seorang penduduk tempatan di kawasan itu yang mahu dikenali sebagai Dini yang berusia lingkungan 50-an memberitahu, petrol berkenaan adalah untuk kegunaan motosikal roda tiga atau dikenali sebagai 'choley' yang digunakan peniaga di pasar itu untuk membawa barangan dagangan ke premis jualan di kawasan terbabit.

"Saya ada dengar, diesel di Malaysia sudah jadi mahal dan kedai di sini hanya jual petrol Malaysia sahaja pada harga 45 baht untuk kegunaan kecil-kecilan sahaja seperti motosikal di sini.

"Untuk diesel agak susah nak jumpa di sini, kerana ia memerlukan bekas yang besar. Lagipun, ia untuk kegunaan kenderaan besar seperti pacuan empat roda, lori atau bas," katanya.

Sementara itu, penjualan diesel di stesen minyak komersil berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, terutama di Wang Kelian dan Padang Besar, jelas menunjukkan penurunan sejak pengapungan harga diesel dilaksanakan, 10 Jun lalu.

Penjaga sebuah stesen minyak komersil di Wang Kelian, An Yusran, 48, berkata, sejak rasionalisasi diesel dilaksanakan Kerajaan Malaysia, penjualan diesel di premisnya berkurangan lebih 50 peratus.

"Bila harganya naik kepada RM3.35, maka sudah tak banyak terutama van, trak atau pacuan empat roda Malaysia yang guna diesel nak datang isi diesel di sini. Boleh dikatakan, secara kasarnya, kami hadapi lebih 50 peratus penurunan daripada segi jualan.

"Selain itu, pacuan empat roda Thailand juga agak berkurangan mengisi diesel di sini, dan saya difahamkan, segelintir daripada pemandu kenderaan itu, ada yang menyeludup diesel dan mereka akan mengisi bahan api itu dari stesen minyak ke stesen minyak lain. Tetapi, untuk perkara itu, sudah nampak kurang di stesen minyak ini," katanya.

Perkembangan berlainan pula dapat dilihat bagi pengusaha stesen minyak tidak bersubsidi di sekitar sempadan Malaysia-Thailand apabila langkah pengapungan harga diesel memberi peningkatan pada jualan diesel mereka.

Abdul Halim Ramli, 48, yang mengusahakan stesen minyak tidak bersubsidi di Wang Kelian berkata, terdapat peningkatan 30 peratus daripada segi jualan diesel di premisnya yang menyasarkan pengguna kenderaan berpendaftaran Thailand.

"Pendapat saya, dengan langkah kerajaan ini, ia tidak hanya membantu perniagaan saya tetapi mampu mengurangkan potensi penyeludupan diesel, terutama di kawasan sempadan.

"Lazimnya, kenderaan dari Thailand yang menggunakan diesel ini akan mengisi sekitar 30 liter bahan api sebelum beredar ke destinasi masing-masing," katanya.

Dia berkata, penetapan harga diesel oleh Kerajaan Malaysia juga menyebabkan pengguna kenderaan diesel dari negara jiran itu meningkatkan pengisian bahan api berkenaan antara 70 hingga 80 liter.

"Saya lihat, sejak langkah rasionalisasi itu dibuat, mereka akan mengisi tangki kenderaan antara 70 hingga 80 liter dan mereka terpaksa akur dengan langkah yang dibuat kerana tiada ruang buat mereka untuk ingkar.

"Tanpa subsidi ini, saya boleh katakan purata jualan bahan api di sini, bertambah sekitar RM2,000 sehari dengan pertambahan kenderaan dari Thailand," katanya.



Disiarkan pada: Jun 26, 2024 @ 1:11pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 01:24 PM GMT+8 , Processed in 0.149335 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list