Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika hadir melancarkan ‘Sailing Towards Sustainability ESG Initiative Commencement & Renewable Energy Handover Ceremony’ di Bertam, hari ini. NSTP/Danial Saad
KEPALA BATAS: Projek air di antara Perak dan Pulau Pinang menunjukkan perkembangan sangat positif ketika ini selepas sebahagian langkah mitigasi yang diambil, berjalan lancar.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata Pulau Pinang menunjukkan komitmen begitu baik dalam projek terbabit sebelum dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perdana Menteri (ketika lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini) beri komitmen jelas (terhadap projek air antara dua negeri ini) dan kementerian (PETRA) menyambut penuh (usaha berkenaan). Cuma, perancangan itu tidak membabitkan sumber air semata-mata tetapi perancangan untuk membuka satu lagi industri hijau di Kerian (Kerian Hi-Tech Park).
"Maka sebab itu, Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) sementara menunggu (projek dilaksanakan) telah mengambil langkah mitigasi kerana dalam menguruskan air ia tidak bermaksud hari ini rancang esok siap kerana ia mengambil masa begitu lama.
"Apabila dimaklumkan ada projek (sebahagian langkah mitigasi) siap di Bukit Panchor (dalam daerah Seberang Perai Selatan) ini menunjukkan perkembangan sangat positif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran 'Sailing Towards Sustainability ESG Initiative Commencement and Renewable Energy Handover Ceremony' yang turut dihadiri Kon Yeow, di sebuah pasar raya di Bertam, di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, pihaknya turut menyokong penuh sekiranya kos infrastruktur projek air antara dua negeri itu dibiayai oleh Kementerian Ekonomi.
"Rancangan (Projek Air Perak dan Pulau Pinang) ini perlu diusahakan secara bersama-sama untuk justifikasi meningkatkan bekalan air di Perak, merangkumi rancangan industri.
"Oleh sebab itu, bagi kami (PETRA) memang sependapat dengan kerajaan negeri supaya perkara ini (Projek Air Perak dan Pulau Pinang) dijadikan keutamaan," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, perbincangan langsung berkaitan Projek Air Perak dan Pulau Pinang dengan Perdana Menteri akan diadakan selepas selesai Mesyuarat Majlis Berkaitan Perubahan Iklim, esok.
"Saya percaya Kerajaan Persekutuan menerusi kementerian YB (Akmal Nasrullah) akan menyediakan peruntukan untuk sebahagian kerja di bawah tanggungjawab Persekutuan seperti kerja-kerja sumber air mentah (di Sungai Kerian, Perak)," katanya.