|
Umum mengetahui Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa dan juga budaya.
Malah Malaysia tidak hanya didiami oleh etnik Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Iban sahaja sebaliknya ada juga etnik Jawa yang kebiasaannya berada di sekitar Kuala Selangor, Perak dan beberapa kawasan lain.
Etnik Jawa mempunyai budaya, tradisi makanan serta bahasa tersendiri yang digunakan untuk berkomunikasi. Namun kebiasaannya ia hanya boleh ditutur oleh mereka yang datang dari etnik tersebut.
Walau bagaimanapun, seorang lelaki berbangsa India ini telah berjaya mencuri tumpuan ramai apabila dia tampil dalam satu video di TikTok dan bercakap menggunakan bahasa Jawa.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Vignism, dia awalnya membuat trend ‘ibu saya akan suruh putus’ sekiranya seseorang itu tidak pandai tentang sesuatu perkara.
Vignism membuat konten ibu kepada teman wanita atau wanita disukainya menyuruh untuk putus kerana dia tidak pandai berbahasa Jawa. Ini kerana Vignism merupakan seorang lelaki berbangsa India yang selalunya mahir bertutur dalam bahasa Tamil dan bahasa Melayu.
Namun apa yang mencuri tumpuan dia kemudian terus bercakap dalam bahasa Jawa selain turut membuat cara seperti ‘bomoh jowo’.
“Tajamnya pedang masih kalah dengan kata-kata makcik. Cakap bukan-bukanlah.
“Apa khabar makcik? Sihat? Dah makan ke belum? Nama saya Vignism,” katanya dalam bahasa Jawa.
Malah dia juga turut memaklumkan bahawa dia boleh bertutur dalam bahasa Jawa sedikit. Dalam video itu, Vignism turut mengira untuk dalam bahasa berkenaan bermula nombor satu hingga sepuluh.
“Saya ada pesan sikit, biar muka hitam bukan hati yang hitam. Minta maaf ya makcik,” katanya lagi.
Di ruang kapsyen Vignism memaklumkan dia sengaja ingin mencuba trend tersebut, dan memohon maaf kerana bahasa Jawa yang dituturnya sedikit bercampur dengan bahasa Tamil sehingga ia kedengaran sedikit lain.
Malah dia turut memaklumkan sebelum ini dia pernah duduk di Sg Samak, Perak.
Melihat di ruangan komen, ramai yang teruja dengan Vignism yang boleh bertutur bahasa Jawa.
Malah ada yang mengatakan mereka pertama kali melihat individu dari bangsa lain pandai berbahasa Jawa.
Sumber : Buzzkini |
|