|
Jojo (kiri) ketika menentang Tran Duy Nhat. - Foto One Championship.
KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menerima suntikan kata semangat meskipun terpaksa mengharungi kekalahan pertamanya di One Championship, semalam.
Kekalahan di tangan jaguh berpengalaman dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam kategori flyweight pertarungan One 167 di Bangkok, Thailand itu nyata memberi kesan kepada petinju muda berusia 18 tahun itu namun ia dianggap sebagai satu pengajaran berguna buatnya mengharungi lumrah kehidupan.
Bagi Tran Duy Nhat yang berusia 35 tahun serta juara WMF Muay Thai lima kali, Johan atau dikenali sebagai Jojo mempunyai fizikal dan mentaliti yang kuat sekali gus mempunyai masa depan yang cerah.
"Johan muda dan kuat. Dia juga mempunyai minda yang kuat, dia pastinya akan menjadi juara dunia One Championship di masa akan datang," kata Tran Duy Nhat yang menewaskan Johan menerusi keputusan pengadil 'unanimous decision' selepas tiga pusingan.
Dalam pada itu, jurulatih Johan, Addy Sipangyak berkata, anak didiknya akan memperbaiki kelemahan yang ada bagi menghadapi pertarungan akan datang.
"Selepas menamatkan misi ini, kita akan berehat selama tujuh hari. Kami akan kembali berlatih selepas itu dan mencari sebarang kesilapan untuk diperbetulkan semula bagi mengharungi pertarungan akan datang," kata Addy.
Semalam, Johan memohon maaf kepada peminat atas kekalahan pertamanya di One Championship selepas berusaha sebaik mungkin untuk cuba menewaskan Tran Duy Nhat yang nyata lebih berpengalaman darinya.
"Agak mengecewakan kerana Nguyen adalah petinju teknikal. Dia mempunyai banyak pengalaman, dia tahu apa yang akan terjadi sebelum ia berlaku," kata Johan.
"Maaf kepada semua penyokong Malaysia yang hadir ke sini untuk menyokong saya. Saya 100 peratus dapat merasakan sokongan mereka di sini. Teruskan menyokong saya. Saya lakukan ini untuk peminat, saya akan kembali," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... fizikal-mental-jojo |
|