|
Penyerang Inter Miami dari Argentina, Lionel Messi (kiri) cuba melepaskan diri daripada kawalan pemain pertahanan New England Revolution, Nick Lima ketika aksi MLS di Stadium Gillette di Foxborough, Massachusetts pagi tadi. – Foto AFP
WASHINGTON: Lionel Messi meneruskan rentak jaringannya dalam MLS, menyumbat dua gol ketika pendahulu liga Inter Miami bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 4-1 di New England Revolution pagi tadi.
Dengan dua gol itu, Messi yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak MLS, mengumpul sembilan gol dalam tujuh penampilan musim ini.
Penonton berjumlah 65,612 hadir di Stadium Gillette di Foxborough, Massachusetts, stadium yang dikongsi Revolution bersama kelab NFL, New England Patriots, untuk menyaksikan pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu.
New England, yang dilanda wabak selesema menjelang perlawanan itu dan berada di tangga tercorot Eastern Conference, menggembirakan penyokong tuan rumah hanya selepas 40 saat menerusi jaringan pemain mereka sendiri dari Argentina, Tomas Chancalay.
Messi menyamakan kedudukan buat Miami pada minit ke-32 apabila dia menyambut lorongan bola Robert Taylor dan pemain berusia 36 tahun itu tidak melakukan kesilapan dengan merembat masuk.
Pemenang Ballon d'Or lapan kali itu kemudian meledak sekali lagi untuk meletakkan Miami di depan pada minit ke-68 apabila dia menerima umpanan bekas rakan sepasukan di Barcelona, Sergio Busquets dan mudah menyepak masuk.
Miami menambah dua gol lagi pada hujung perlawanan – kedua-duanya dicipta oleh Messi.
Pemain gantian Benjamin Cremaschi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-83 sebelum Luis Suarez melengkapkan jaringan. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... laksana-tugas-biasa |
|