Persiapan fasiliti sukan lancar, tarikh akhir telah ditetapkan kepada semua kontraktor untuk siapkan kerja
Shanmugan (tengah) memperagakan maskot SUKMA XXI Sarawak dalam sesi foto bersama Abdul Karim, Fatimah dan delegasi Sarawak yang lain. - Gambar Ukas
“Persiapan telah berjalan dengan baik. Kita telah memberi dateline kepada kontraktor-kontraktor yang sedang menaik taraf fasiliti-fasiliti di Sarawak.”
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan
KUCHING: Semua fasiliti sukan digunakan untuk penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak 2024 akan lengkap sepenuhnya pada Julai depan. Jaminan itu dinyatakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil berkata, setakat ini persiapan fasiliti sukan berjalan dengan lancar.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) katanya, beliau telah menetapkan tarikh akhir kepada semua kontraktor yang terlibat untuk menyiapkan kerja-kerja menaik taraf fasiliti sukan.
“Persiapan telah berjalan dengan baik. Kita telah memberi dateline kepada kontraktor-kontraktor yang sedang menaik taraf fasiliti-fasiliti di Sarawak.
“Kita ada jawatankuasa yang mengatur semua ini yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
“Kesemua fasiliti ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 melakukan kunjungan hormat ke atas Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Melaka P. Shanmugan A/L Pitchay di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, Seri Negeri Melaka, Ayer Keroh di Melaka hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak san Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam.
Selain itu turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta delegasi Sarawak yang lain.
Untuk rekod SUKMA Ke-21 yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos akan mempertandingkan sebanyak 37 sukan membabitkan 484 acara.
Ia akan dilangsungkan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Mukah, Sri Aman, Betong, Samarahan dan Serian.
Sementara itu, Shanmugan berkata kontinjen Melaka akan menyertai 36 dari 37 acara sukan dipertandingkan.
Katanya, seramai 681 atlet termasuk pegawai akan mengibarkan cabaran Negeri Hang Tuah pada kempen SUKMA kali ini.
Selain itu katanya, kontinjen Melaka juga akan mengambil bahagian dalam temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 28 September.
|