MIRI: Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri (PDBSMM) menegaskan pihaknya tidak memberi kebenaran kepada mana-mana pihak luar untuk meminta derma.
PDBSMM dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya baru-baru ini telah dimaklumkan bahawa terdapat individu yang cuba meminta derma daripada orang rama yang mendakwa wakil daripada pusat dialisis terbabit.
“Kami ingin menegaskan bawa pihak kami tidak memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk meminta derma bagi pihak kami.
“PDBSMM komited untuk mengekalkan standard integriti dan ketelusan yang tertinggi dalam semua aktiviti kutipan derma,” ujar kenyataan itu.
Justeru, pihaknya menggesa orang awam agar berwaspada dan membuat penelitian apabila diminta menderma, serta mengesahkan kesahihan sebarang permintaan derma yang dikatakan untuk manfaat organisasi tersebut.
“Kami ingin menekankan bahawa sebarang derma yang bertujuan menyokong kerja-kerja penting PDBSMM hanya boleh disalurkan terus kepada pusat kami melalui saluran rasmi sahaja,” katanya.
Individu atau organisasi yang berminat untuk menyumbang kepada pusat terbabit digalakkan menghubungi PDBSMM di talian 085-436 862 atau e-mel kepada mrcdc1996@gmail.com.
“Penting untuk diambil perhatian bahawa setiap derma yang disalurkan kepada PDBSMM akan diiktiraf dengan resit pelepasan cukai rasmi.
“Resit berkenaan untuk tujuan cukai dan kelayakan bagi pelepasan cukai.
“Kami amat menghargai kemurahan hati dan sokongan masyarakat terhadap misi kami untuk menyediakan perkhidmatan dialisis yang penting kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, dengan memastikan derma disalurkan melalui saluran yang dibenarkan, ia dapat mengekalkan integriti usaha kutipan derma dan memaksimumkan kesan sumbangan untuk meningkatkan kehidupan pesakit dialisis dalam komuniti.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut atau penjelasan mengenai derma atau aktiviti kutipan derma, orang ramai dinasihatkan menghubungi PDBSMM secara langsung.
|