|
ANTARA kucing yang terselamat dirawat di klinik veterina di Banda Jengka. FOTO Amir Hamzah Nordin
Jerantut: "Tipu kalau saya kata tidak sedih apabila kehilangan 15 ekor kucing termasuk 'tok penghulu' Salleh yang mati dalam kebakaran, semalam (kelmarin)," kata Faridah Majid, 46.
Faridah yang juga guru berkata, dia tidak ralat kerugian harta benda, tetapi kehilangan nyawa 15 daripada 24 ekor kucing dan 10 ekor burung peliharaannya sungguh menyayat hatinya.
"Saya sangat sedih kerana saya sudah buka pintu bilik khas itu apabila menyedari berlaku kebakaran dengan harapan haiwan itu dapat lari untuk menyelamatkan diri.
"Tapi mungkin kucing-kucing itu panik dan tidak tahu nak keluar ke mana kerana asap tebal menyelubungi bilik dan ruang tamu rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Cengkuak, Damak, di sini, hari ini.
Katanya, kesemua kucing-kucingnya sangat manja dan mereka akan mengerumuni sambil mengeselkan badan ke kakinya jika dia memasuki bilik khas berkenaan.
"Sudah menjadi rutin saya akan bangun pada jam 5.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk uruskan kucing sebelum pergi mengajar.
"Setiap hari minggu pula, saya akan menghidangkan makanan istimewa dengan memberi daging yang direceh kecil sama ada diberi mentah atau direbus, manakala hari-hari lain saya beri makanan kucing," katanya.
Katanya, ibunya Mekalthom Awang, 80, mempunyai seekor kucing kesayangan yang dinamakan Salleh dan dia begitu sedih apabila mengetahui 'tok penghulu' turut mati dalam kebakaran itu.
"Setakat ini, 15 ekor kucing diketahui mati, yang lain-lain selamat dan ada yang tidak tahu ke mana, mungkin kucing yang 'hilang' masih dalam keadaan ketakutan.
"Manakala burung pula, 10 ekor mati dan yang lain terselamat kerana pihak bomba sempat menyembur air di bahagian belakang rumah dan mungkin burung-burung itu tidak kepanasan," katanya.
Katanya, dia membawa tiga kucing yang tercedera ke sebuah klinik veterinar di Bandar Jengka untuk menerima rawatan, hari ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... enghulu-salleh-mati |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|