Edited by maklukpenggoda at 14-4-2024 11:36 PM
KUALA LUMPUR: Lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di Sepang, dipercayai melarikan diri ke utara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di situ.
Beliau berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti dan operasi mengesannya sedang giat dijalankan.
"Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai melarikan diri ke utara," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Hussein berkata, ketika kejadian, isteri suspek dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
"Suspek bertindak melepaskan dua das tembakan sebelum terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.
Beliau berkata, kejadian itu adalah bersifat peribadi dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti keganasan.
|