View: 6702|Reply: 0
|
[Johor]
Malam 7 likur, lebih 1,000 pelita hiasi Zon 6 Taman Anggerik Tenggara
[Copy link]
|
|
TRADISI memasang pelita pada 10 malam terakhir Ramadan yang dipanggil sebagai malam tujuh likur bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri. FOTO Bernama
Kota Tinggi: Tradisi memasang pelita pada 10 malam terakhir Ramadan yang dipanggil sebagai malam tujuh likur bukan saja menyemarakkan sambutan Aidilfitri malah dapat menghidupkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat.
Justeru, dianggarkan lebih 1,000 pelita dipasang di 13 jalan di Zon 6 Taman Anggerik Tenggara, di sini, sebagai usaha mengekalkan tradisi turun temurun itu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Anggerik Tenggara, Rasid Abd Gepar, 43, berkata, beliau terharu dan tidak menjangkakan sambutan luar biasa daripada penduduk yang mula memasang pelita sejak awal bulan puasa.
Aktiviti itu katanya, mendapat sokongan Ketua Umno Bahagian Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba yang terbabit dalam konvoi ronda bersama penduduk malam tadi serta turut mencetuskan ilham mewujudkan pertandingan hiasan pelita terbaik untuk menaikkan lagi semangat penduduk.
"Kesemua 456 rumah dengan anggaran 1,000 lebih penduduk terbabit...tiada yang terkecuali, mereka tetap bersemangat walaupun terpaksa menggunakan bajet mereka sendiri untuk beli barang, buat pelita dan hiasan.
"Tema dan kriteria yang kita tetapkan ialah menghias tugu pelita dengan menggunakan sekurang-kurangnya 50 biji pelita mengikut kreativiti mereka tetapi apa yang kita lihat melebihi apa yang kita tetapkan," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Penduduk, Haruddin Hamed, 48, berkata, kepelbagaian jenis pelita, hiasan dan kreativiti menggunakan bahan-bahan terbuang serta tradisional menambah keceriaan di kawasan perumahan itu.
Menurutnya, pemasangan pelita dilakukan oleh semua golongan termasuk kanak-kanak, remaja dan warga emas selain suasana turut dimeriahkan dengan bunga api.
"Alhamdulillah sambutan sangat hebat, macam malam ini lebih 200 motosikal terbabit dalam konvoi...dengan ada yang buat persembahan tarian, jadi dengan adanya sebegini, dapatlah anak-anak muda merasai pengalaman seperti zaman dahulu," katanya yang berharap aktiviti itu diteruskan pada masa hadapan.
Sementara itu, Adham berkata, usaha penduduk taman berkenaan wajar dicontohi kerana selain menghidupkan kembali tradisi lama, aktiviti itu menggalakkan kesepakatan bagi mencapai hasil yang positif.
Pegawai Perpaduan Daerah Kota Tinggi Rozaidi Ikhwan pula berkata, program pada malam hari itu turut membantu mencegah dan mengurangkan kes jenayah seperti mencuri.
"Ini program yang pertama kali di kawasan ini seperti ini dan Alhamdulillah, walau dalam keadaan sumber kewangan tidak ada, mereka bersama-sama muafakat mengumpul dana untuk ceriakan kawasan mereka," katanya sambil menambah pihaknya sentiasa melakukan rondaan menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk mencegah jenayah dalam taman.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-anggerik-tenggara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|