KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membantu mengeksport sebanyak 42 tan tembikai jenis boci ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar, Doha bernilai RM93,000, Mac lalu.
Pengarahnya, Saiful Sadri berkata, pihaknya hanya bertanggungjawab membantu mengeksport hasil pertanian berkenaan yang dikeluarkan pekebun di Cuping, Perlis.
Beliau berkata, tembikai keluaran pekebun di Cuping kini memenuhi standard yang ditetapkan dari segi saiz antara lima hingga tujuh kilogram (kg) sebiji, kualiti buah dan bentuk menarik, selain mampu mengeluarkan produk berkenaan dengan jumlah yang banyak secara serentak dalam satu masa.
Katanya, pihaknya menerima arahan daripada Ibu Pejabat FAMA untuk membantu menguruskan penjualan tembikai kedua-dua negara Asia Barat itu.
"Sebelum ini FAMA Pahang turut membantu mengeksport tembikai jenis boci keluaran beberapa pekebun di Kampung Ubai, di sini. Namun kini pengeluaran yang terhad jualan ke luar negara tidak dapat dilakukan.
"Untuk mengeksport ke Dubai dan Qatar memerlukan buah tembikai yang berkualiti tinggi, ia bagi memastikan peluang memasarkan produk berkenaan secara berterusan tidak terganggu," katanya selepas melawat kebun tembikai pekebun di Kampung Ubai, semalam.
Beliau berkata, pihaknya sedia membantu pekebun tembikai di Kampung Ubai mengeksport tembikai keluaran pekebun di situ, dengan syarat mereka dapat memenuhi standard ditetapkan selain mampu mengeluarkan buah dengan jumlah yang banyak.
Saiful berkata, selepas Aidilfitri pihaknya bercadang melakukan penghantaran tembikai ke Dubai dan Doha keluaran pekebun Kampung Cherating, di sini dan Temerloh.
Katanya, terdapat enam pekebun tembikai di Kampung Ubai dan FAMA telah membuat belian buah kira-kira 150 tan untuk pasaran tempatan. Pengeluaran buah bermula bulan lalu hingga awal bulan depan.
"FAMA kini membeli tembikai jenis boci merah dan kuning untuk diedarkan ke beberapa daerah di negeri ini dengan harga lantai 80 sen sekilogram (kg).
"Tembikai keluaran Kampung Ubai sejak dahulu lagi terkenal, projek pertanian di kawasan berkenaan dilakukan secara turun temurun keluarga.
"Kebanyakan pekebun terdiri peserta ladang kontrak FAMA, mereka bebas menjual hasil mengikut harga ditawarkan. Sekiranya berlaku lebihan pengeluaran kita membantu dengan cara membelinya mengikut harga lantai," katanya.