Georgetown: Tindakan kerajaan melaksanakan pendaftaran automatik dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) seolah-olah penyamun yang 'mencuri' dan 'merompak' maklumat rakyat.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Oh Tong Keong berkata, ia berikutan pendaftaran automatik berdasarkan data daripada agensi lain dibuat tanpa kebenaran.
"Sesetengah rakyat pilih tidak mendaftar Padu kerana bimbang dengan kebocoran maklumat peribadi dan kurang yakin dengan keselamatan sistem itu yang diragui banyak pihak.
"Tapi kini kerajaan memilih pelaksanaan pendaftaran automatik tanpa mendapat kebenaran daripada rakyat. Bukankah ia satu tindakan 'mencuri' dan 'merompak' maklumat rakyat?
"Malah, apakah kesahihan hak kerajaan khususnya Jabatan Perangkaan mengguna data daripada pelbagai agensi bagi membuat pendaftaran automatik?" katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, portal media melaporkan Jabatan Perangkaan memaklumkan rakyat yang tidak mengemas kini data mereka di hab Padu akan didaftar secara automatik maklumat asas mereka.