CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6205|Reply: 0

[Sarawak] Malaysia perlu wujudkan Data Buku Negara

[Copy link]
Post time 28-3-2024 06:34 AM | Show all posts |Read mode


KUCHING: Malaysia perlu mewujudkan Data Buku Negara sebagai salah satu langkah penting memperkasa penghasilan karya berkualiti berbahasa Melayu, sekali gus memajukan industri penerbitan buku tempatan.

Anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Jeniri Amir berkata, ia berfungsi sebagai sumber menyediakan rujukan tepat dan terverifikasi tentang buku-buku yang diterbitkan di negara ini.

“Dalam masa sama, data ini membantu industri buku dan masyarakat umum dalam menemukan sumber informasi yang relevan serta memudahkan akses informasi.

“Langkah ini mendukung industri penerbitan kerana dapat memberikan informasi penting dalam memantau dan menganalisis trend semasa.

Di samping boleh digunakan sebagai dasar untuk pengambilan keputusan strategik dalam pengembangan buku-buku baharu,” katanya.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata demikian dalam pembentangan kertas kerja Dunia Penerbitan Buku pada Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, Data Buku Negara itu juga akan membantu dalam pengelolaan dan pengembangan kerana merangkumi data berkaitan kajian menyeluruh dunia penerbitan termasuk minat membaca serta rekod peruntukan daripada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan penerbit buku.

“Contohnya pencapaian penulis Sepanyol, Corin Tellado yang berjaya menulis lebih 4,000 judul buku dan 400 juta naskhah dicetak. Adakah terdapat orang di Malaysia menulis sebanyak itu?

Kita perlukan data rekod bagi statistik begini sebagai rangsangan kepada para penulis,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pemegang taruh termasuk Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia serta banyak lagi perlu menggemblengkan tenaga dan memperkukuh kerjasama sebagai satu pasukan padu bagi merancakkan industri berkenaan.

“Komuniti penulis perlu diperkukuhkan dengan penganjuran bengkel atau kursus penulisan secara berkala bagi melahir dan mengasah lebih ramai bakat penulis pelbagai kaum menulis dalam bahasa Melayu.

“Kerajaan dan pihak berkepentingan lain juga perlu menawarkan geran atau biasiswa untuk penulis ini bagi memudahkan mereka menulis dan menerbitkan buku bersesuaian perkembangan semasa dan kehendak pembeli.

“Di samping itu, negara perlu melahirkan penulis usahawan.

Berapa orang penulis sudah jadi kaya dan jutawan di negara ini? Bagaimana dan buku apa yang dapat menjadikan mereka jutawan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, kerajaan perlu menyediakan menyediakan insentif kewangan seperti geran atau pinjaman khas untuk penerbitan yang menyokong pembangunan ekosistem penulisan buku dalam bahasa Melayu.

“Dalam masa sama, membangunkan infrastruktur industri umpannya mewujudkan lebih banyak rumah penerbitan, menyediakan kemudahan dan sokongan teknikal seperti cetakan dan pemasaran bagi penerbit termasuk penulis swaterbit.

“Juga memperkasakan pemasaran melalui pelbagai platform digital dengan membina rangkaian pengedaran yang efisien untuk memastikan buku-buku dalam bahasa Melayu mudah didapati di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau juga menyarankan pihak berkepentingan menggunakan media sosial dan pengiklanan digital untuk mempromosikan dan memasarkan buku kepada khalayak yang lebih luas kerana diyakini berupaya meningkatkan prestasi kempen pemasaran.

Antaranya kerjasama dengan pempengaruh atau pemblog yang sesuai serta menjalankan analisis maklum balas tentang jenis buku yang diminati, waktu yang terbaik untuk memuat naik dan lain-lain bagi menyesuaikan strategi menjual buku.

“Menganjurkan kempen media sosial yang mempromosikan kepentingan dan budaya membaca serta menghargai karya dalam bahasa Melayu juga salah satu strategi yang diperlukan,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan untuk mewujudkan lebih banyak anugerah buku untuk menggalakkan penghasilan karya berkualiti, meningkatkan kualiti dan inovasi penulis dan mengukuhkan industri penerbitan.




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 11:11 AM GMT+8 , Processed in 0.457841 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list