KOTA BHARU: Yayasan Petronas memperuntukkan RM270,000 bagi membantu 1,350 golongan asnaf di Pantai Timur menerusi Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, bantuan diberikan dalam bentuk barangan makanan asas dengan fokus utama membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan menjelang perayaan besar.
"Daripada 1,350 penerima, 550 adalah dari Kelantan dan program ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di semua 10 jajahan.
"Program ini salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan dan Aidilfitri sememangnya perlu diraikan dengan meriah.
"Barangan makanan diagihkan seperti beras, bihun, minyak masak, kari ayam dalam tin, sardin, gula, tepung gandum, garam, serbuk minuman coklat, dan teh termasuk barangan bertemakan perayaan iaitu beras pulut, kacang tanah, santan kotak, pes rendang serta pes kuah kacang," katanya kepada pemberita malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Seorang penerima, Nur Fatimah Sarah Gobalakrishnan, 46, meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan yang disifatkan sangat membantu untuk asnaf sepertinya.
"Saya hanya menyara hidup dengan menjual cendol sejak 10 tahun lalu dan kini diuji apabila sebelah kaki terpaksa dipotong hingga paras lutut kerana jangkitan kuman.
"Walaupun ada kedai kecil, tetapi pendapatan hanya cukup makan untuk menampung kehidupan kami empat beranak, malah persiapan Aidilfitri pun dibuat ala kadar," katanya yang bergerak menggunakan kerusi roda.