BERSALAH: tertuduh diiring keluar untuk menjalani hukuman selepas prosding mahkamah berkenaan.
TAWAU: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 selepas mengaku salah memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan pada 19 Mac lepas.
Janee @James Juini, 45, membuat pengakuan kesalahan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas pertuduhan selesai dibaca mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4.48 petang di Batu 3 Jalan Apas sebagai pemandu kenderaan.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh sebanyak 199 miligram (mg) melebihi had ditetapkan iaitu 50 mg dalam setiap 100 mililiter darah.
Tertuduh dikesan memiliki tahap kandungan alkohol melebihi had selepas tiba-tiba masuk ke lorong susur kiri sebelum melanggar bahagian belakang dan kanan dua buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Mahkamah mengarahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh jatuh hukum.
Tertuduh juga turut diarah untuk dipenjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda serta lesen memandu digantung dua bulan.
Kes pendakwaan berkenaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee.
|