Georgetown: Kumpulan Sunway menceriakan lebih 4,000 komuniti kurang bernasib baik melalui program Sunway Sinar Ramadan 2024 dengan menjamu pelbagai hidangan tradisional demi menyemarak keceriaan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Naib Pengerusinya Tan Sri Datuk Seri Razman M Hashim berkata, sempena ulang tahun ke-50 Kumpulan Sunway tahun ini, program itu akan menyaksikan lima acara diadakan di lima negeri sepanjang tempoh dua minggu, dengan menghimpunkan selebriti tempatan dan rakan kongsi badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sepanjang Ramadan ini.
"Falsafah kami bukan sekadar mengecapi kejayaan, malah sentiasa berbuat baik. Tidak ada gunanya berjaya jika kita tidak membawa kebaikan kepada komiuniti.
"Kumpulan Sunway percaya pendidikan jalan paling cepat untuk keluar daripada kemiskinan dan berharap dapat terus memberikan biasiswa dalam tahun akan datang," katanya selepas program Sunway Sinar Ramadan 2024, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Program Sunway Sinar Ramadan 2024 sudah dijalankan di Johor, Perak serta Pulau Pinang dan akan diteruskan ke Terengganu dan Selangor.
Sunway Sinar Ramadan 2024 adalah program tanggungjawab korporat di mana pelakon yang juga Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia (MAF) Datuk Aaron Aziz turut dijemput memeriahkan majlis.
Sementara itu, Aaron berkata, ini adalah kerjasama pertama MAF dengan Kumpulan Sunway dengan kedua-dua pihak bekerjasama dalam beberapa projek di seluruh negara.
Menurutnya, ia sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS dan memerangi stigma mengenainya.
"Saya telah menjadi Selebriti Sokongan Riben Merah selama lebih sembilan tahun dan pendidikan tentang HIV/AIDS adalah penting terutamanya untuk remaja agar mereka dapat membuat keputusan yang lebih baik, apabila bermaklumat.
"Kami juga berharap untuk memerangi stigma sekitar HIV/AIDS dan kami berharap syarikat-syarikat tidak akan mendiskriminasi pesakit-pesakit ini," katanya.