CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8943|Reply: 0

[Kedah] AUKU: Penambahbaikan lebih baik berbanding mansuh

[Copy link]
Post time 22-3-2024 05:25 PM | Show all posts |Read mode
AUKU: Penambahbaikan lebih baik berbanding mansuh

OlehROSLINDA HASHIM

22 Mac 2024 04:35pm








Muhammad Izuan Faiz (Laporan Sinar Harian pada 19 Mac lepas.)




ALOR SETAR - Penambahbaikan lebih baik berbanding memansuhkan Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana akta tersebut berjaya mewujudkan pengurusan baik membabitkan pelajar universiti.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya AUKU dipinda mengikut kesesuaian dan perkembangan isu semasa.



Menurutnya, secara keseluruhan AUKU juga berperanan dalam melindungi mahasiswa dalam pelbagai aspek.

“Saya menyambut baik usaha ke arah pindaan yang menyekat kebebasan badan kepimpinan mahasiswa. Akhiri laungan mansuh AUKU, sebaliknya berganding bahu bersama merealisasikan autonomi dalam pemerkasaan mahasiswa,” katanya di sini pada Jumaat.



Muhammad Izuan Faiz berkata, asas AUKU digubal adalah untuk memperkenalkan instrumen sah mengenai penubuhan universiti dan mengesahkan hubungan antara kerajaan dengan institusi tersebut.

“Dalam 44 seksyen yang terkandung dalam akta tersebut, hanya dua seksyen benar-benar berkaitan mahasiswa, iaitu seksyen 15 dan 16.

“Usaha meminda mana-mana klausa ke arah kebebasan pelajar wajar disokong namun pengalaman lalu mendewasakan ramai pemimpin bahawa kebebasan itu perlu ada hadnya, selain diuruskan dengan teratur,” jelasnya.

Menurutnya, ia bukan dalam konteks menghalang sebaliknya ke arah membimbing dalam melahirkan kepimpinan masa kini dan masa hadapan negara.




“Jika kita analisis beberapa usaha ke arah pindaan AUKU, ia menjamin autonomi mahasiswa yang lebih luas.

“Pertama, proses demokrasi kian subur di institusi pengajian tinggi (IPT) yang mana Jawatankuasa Pemilihan Kampus (CEC) kini diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa.




“Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) buat pertama kali diserahkan kepada mahasiswa sepenuhnya untuk menguruskannya, ia terbukti berjalan lancar,” katanya.

Muhammad Izuan Faiz berkata, terbaharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga telah melaksanakan pilihan raya melalui kepimpinan mahasiswa, namun tidak bermakna mahasiswa harus berpuas hati dengan perkembangan itu, sebaliknya usaha perlu digiatkan lagi pada masa depan.

“Seterusnya, tuntutan terhadap penglibatan Kesatuan Mahasiswa/MPP dalam mesyuarat utama universiti seperti Senat adalah wajar kerana sebagai pemegang taruh di IPT, setiap keputusan melibatkan pelajar perlu menerima pandangan atau cadangan daripada pemimpin pelajar agar keputusan itu lebih inklusif.

“Ia sudah pun dilaksanakan secara berperingkat dan akan terus dilaksanakan bagi mengangkat suara dan martabat mahasiswa,” jelasnya.

Menurutnya lagi, komitmen dan bantuan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) khususnya telah memberi ruang kepada kepimpinan mahasiswa untuk bersuara di platform yang tepat.

“Aspek ketiga melibatkan aktiviti berpolitik mahasiswa. Kebebasan diberikan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terbabit dalam aktiviti politik, seperti ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Ada usaha ke arah membudayakan literasi politik di kampus. Sesi dialog melibatkan pemimpin politik wajar dibenarkan dengan syarat perlu wujud keseimbangan antara pemimpin politik. Tidak hanya melibatkan satu parti kerana mahasiswa mahukan pandangan menyeluruh,” ujarnya.

Tambah Muhammad Izuan Faiz, mahasiswa juga dibenarkan menguruskan kewangan sendiri dan ia memberikan peluang kepada kepimpinan mahasiswa agar lebih matang memimpin apabila diberikan tanggungjawab lebih besar.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan RUU AUKU Pindaan 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April ini.

Pindaan tersebut bakal menyaksikan ruang lebih besar kepada pelajar terlibat dalam kegiatan kampus sejajar usaha meningkatkan kualiti mahasiswa.

AUKU telah dipinda sebanyak tujuh kali sejak ia diperkenalkan pada 1971, iaitu pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan 2019.

Pada 19 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, walaupun kerajaan memaklumkan bahawa AUKU 1971 tidak akan dimansuhkan, namun beberapa peruntukan dalam akta itu yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 03:03 PM GMT+8 , Processed in 0.120452 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list