CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 18919|Reply: 0

[Sarawak] Pindaan Seksyen 15A AUKU galak pelajar berikhtiar dapatkan sumber bantuan dana

[Copy link]
Post time 19-3-2024 08:56 PM | Show all posts |Read mode


Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS, Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

KUCHING: Pindaan kepada Seksyen 15A, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), adalah bertepatan bagi menggalakkan pelajar berikhtiar dan berusaha mendapatkan sumber bantuan dana untuk membiayai aktiviti mahupun projek berimpak seperti yang disasarkan.

Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS, Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman, berpendapat pindaan itu diyakini diperkenalkan bagi memastikan isu aspek kewangan dapat dikawal selia dengan sebaiknya.

Katanya, ia bagi mengelakkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) daripada terjebak dengan pelbagai tawaran atau bantuan yang mendorong kepada sebarang tuntutan sehingga boleh mengganggu gugat kestabilan dan keselamatan negara termasuk golongan pelajar sendiri.

“Dengan kata lain, kita sedia maklum bermacam anasir subversif telah wujud dan golongan pelajar IPT adalah antara sasaran utama oleh badan-badan penaja sebagai pulangan terhadap bantuan yang diberikan.

“Tidak kurang juga ia bertujuan mengekang parti-parti politik daripada terus menjadikan bantuan kewangan sebagai umpan kepada pelajar melalui sumbangan ‘berhajat’ dari mana-mana parti politik bagi meraih sokongan dan dokongan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas mengenai keputusan Dewan Rakyat meluluskan pindaan terbaharu kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti melalui undian suara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, yang membentangkan rang undang-undang tersebut, berkata penambahbaikan kepada Seksyen 15A akta tersebut membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

“Bagaimanapun, pindaan kepada Seksyen 15A ini masih tidak membenarkan pelajar atas kapasiti individu untuk terlibat dengan aktiviti pungutan wang atau penerimaan wang atau apa-apa sumbangan lain melainkan jika tindakan tersebut dibuat atas nama atau bagi pihak MPP atau mana-mana badan pelajar universiti,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Mohd Fadzil menegaskan apabila ia dilaksanakan nanti, ia menjadi tanggungjawab besar pihak universiti untuk memastikan segala proses kutipan dan penerimaan wang bantuan oleh pelajar dipantau dan dibimbing dengan baik agar tidak berlaku sebarang salah laku.

“Sumber dari mana bantuan diperoleh juga adalah antara elemen amat kritikal yang perlu dikenal pasti oleh pentadbir universiti.

“Bimbang kalau nanti terjebak dengan pertubuhan yang tidak sepatutnya.

“Maklum sajalah pelajar seperti manusia lain, jika kurang iman dan integriti serta pertimbangan lebih-lebih lagi di usia muda, mungkin boleh terbabas dan dikaburi dengan kebendaan, apa lagi apabila memegang duit di dalam tangan sendiri.

“Walaupun kes seperti ini dianggap terpencil, ia pernah berlaku.

“Jika tidak dikawal sebaiknya, tidak mustahil ia boleh terus berlaku dan jika pun terlepas, sudah pasti ia akan menjadi pencetus kepada amalan kurang sihat itu seawal di IPT dan dibawa pula ke alam pekerjaan nanti,” katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 07:10 AM GMT+8 , Processed in 0.306681 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list