CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6238|Reply: 0

[Sarawak] Muka sauk kedua lulus

[Copy link]
Post time 19-3-2024 08:13 PM | Show all posts |Read mode


PERIKSA: Hajiji memeriksa kadar kemasinan pada salur air LRA Limbahau semasa lawatan terbabit.

PAPAR: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jetama Sdn Bhd diarahkan untuk membina muka sauk kedua bagi membekalkan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) di Kampung Limbahau di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pengambilan air dari muka sauk terbabit dicadangkan di Kampung Kabang yang terletak lebih jauh di hulu Sungai Papar bagi mengelakkan kemasukan air masin berulang yang menyebabkan LRA Limbahau ditutup sepenuhnya.

“Cadangan pembinaan muka sauk kedua di Kampung Kabang akan menyelesaikan isu kadar kemasinan tinggi pada pengambilan air pertama di Kampung Limbahau,” katanya ketika ditemui selepas melawat LRA Limbahau di sini.

Semasa lawatan terbabit, Hajiji diberi taklimat oleh Jurutera Air Daerah Afiq Abqari Nain yang memaklumkan paras kemasinan terhadap pengambilan air LRA EWSS Limbahau melebihi 4,000 miligram seliter (mg/L), iaitu jauh melebihi standard maksimum hanya 120 (mg/L).

Beliau turut melawat pengambilan air alternatif Jetama di Kampung Kabang iaitu cadangan lokasi pengambilan air kedua untuk LRA Limbahau.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, mencadangkan pengambilan air kedua sebagai alternatif untuk sumber air apabila pengambilan sedia ada bermasalah.

Air masin diambil sejauh 13 kilometer ke Sungai Papar dengan melepasi pengambilan air LPA Limbahau, iaitu kira-kira lapan kilometer dari muara Sungai Papar.

Hajiji turut dimaklumkan penutupan LRA Limbahau sejak 17 Februari lalu membabitkan dua loji air lain di Papar iaitu Jetama dan Kogopon yang sudah tidak beroperasi mengakibatkan penurunan pengeluaran kepada 35 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti penuhnya sebanyak 63 MLD.

“Saya ke sini hari ini untuk melihat keadaan sebenar di Papar yang memerlukan tindakan segera daripada semua agensi berkaitan.

“Berdasarkan taklimat daripada Pegawai Daerah, Jurutera Daerah dan Pengarah Air Negeri, saya melihat tindakan sudah dilaksanakan untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Hajiji turut dimaklumkan penutupan LRA dan kemarau yang berpanjangan juga mengakibatkan kekurangan air kritikal yang menjejaskan kira-kira 150,000 penduduk di daerah ini.

Sementara itu, dalam taklimatnya, Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah berkata, Pejabat Daerah Papar sudah membekalkan air menggunakan lori tangki air secara terus kepada penduduk yang terjejas selain menyediakan empat tangki statik yang boleh diperoleh di ibu pejabat Jabatan Air Daerah.

Hajiji berkata, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki air diharap akan diteruskan dan sekiranya perlu, kerajaan negeri akan membayar bil tambahan air.
Pada masa sama katanya, pembenihan awan juga sedang dipertimbang di kawasan tadahan air dengan melihat keoada keadaan awan yang sesuai.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Air Suhaimi Asbullah berkata, pengeluaran air di seluruh negeri menurun kepada 1,466.29 JLH berbanding pengeluaran biasa 1,534 JLH berikutan penutupan LRA Limbahau dan LRA Sebatik.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya; Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Ghulam Haidar Bahadar Khan.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 06:28 AM GMT+8 , Processed in 0.053960 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list