CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4496|Reply: 0

[Sabah] Pengamal media Hungary tertarik dengan destinasi pelancongan Sabah

[Copy link]
Post time 15-3-2024 06:13 PM | Show all posts |Read mode


KENANGAN: Christina (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Munis (dua kiri), Maddock (kiri), Dr Popper (tiga kiri), Kato (dua kanan) dan Joniston (kanan). Turut kelihatan baris belakang dari kiri Julinus, Lai dan Pan.

BUDAPEST: Pengamal media di Hungary teruja dan memberikan reaksi positif terhadap pembentangan pelbagai tarikan menarik yang ditawarkan 'Land Below The Wind' kepada pengunjung.

Pembentangan destinasi pelancongan Sabah terbabit disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, semasa majlis makan malam bersama pengamal media di sini yang dianjurkan pihak Kedutaan Malaysia di Hungary.

Christina memaklumkan, bilangan penduduk Hungary yang mengetahui keadaan geografi di Sabah sangat sedikit, apatah lagi tentang tawaran pelancongan yang ada di Sabah.

Katanya, pembentangan ini berjaya membuka mata pengamal media di Hungary kerana pihaknya membawakan tarikan menakjubkan yang ada di Sabah.

“Sepanjang pembentangan dijalankan, beberapa soalan diajukan kepada delegasi Sabah termasuk pemilihan Budapest sebagai lokasi untuk memberikan pengenalan pelancongan daripada pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

“Budapest memberikan peluang terbaik untuk memperkenalkan Sabah ke Eropah Tengah dan pada masa sama kita sedang meneroka pasaran baharu memandangkan Hungary adalah sebuah negara yang dikelilingi daratan.

“Dengan menawarkan keindahan destinasi pelancongan berasaskan pantai serta pulau dengan fasiliti pusat peranginan mewah, semestinya menjanjikan pengembaraan yang berharga untuk pelancong di sini,” katanya semasa pembentangan terbabit.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Hungary, Slovenia dan Macedonia Utara, Francisco Munis, Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Tetap Kementerian Josie Lai Mei Sing, Pengerusi Sri Pelancongan Sabah Ken Pan Ying On dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit.

Pada masa sama, Christina juga mengalu-alukan pengamal media Hungary untuk mempromosikan Sabah dalam penerbitan masing-masing.

Dalam pada itu Christina berkata, ejen dan pengendali pelancongan di Hungary juga boleh mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama melalui kerjasama dan perkongsian bersama pihak STB.

"Usaha ini termasuklah untuk mengadakan kempen promosi dan inisiatif pemasaran yang mempamerkan tarikan dan pengalaman unik yang boleh dinikmati di Sabah.

"Kita juga menggalakkan agensi dan pengendali pelancongan untuk menghubungi delegasi ini bagi meneroka peluang kerjasama yang berpotensi seterusnya berganding bahu dalam mempromosikan Sabah kepada warga Hungary," katanya.

Sementara itu, Pengarang Kanan Budapest Times Christopher Maddock mengakui tidak mempunyai pengetahuan meluas tentang Sabah.

Beliau berkata, kehadirannya pada pembentangan itu adalah satu keistimewaan dan mendapat pengetahuan baharu sehingga berhasrat mengunjungi Sabah pada masa depan.

Maddock turut berminat memulakan ruangan berkenaan Sabah, bagaimanapun beliau memerlukan beberapa maklumat yang akan dihantar oleh Josie untuk bahan utama ruangan terbabit.

“Selama ini jika menyebut tentang Malaysia, kebanyakkan pihak hanya memikirkan tentang Semenanjung Malaysia dan bukan Malaysia Timur.

“Tanggapan ini lebih kepada beberapa destinasi di sana terutama Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan kemungkinan juga Singapura, saya sendiri sudah mengunjungi Semenanjung Malaysia sebanyak dua kali, tetapi tidak pernah ke Borneo, umpamanya kawasan ini seperti mengunjungi negara lain yang lebih jauh,” katanya.

Pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Daily News Hungary (DNH) iaitu sebuah portal berita terkemuka, Alpar Kato turut bersetuju dengan kenyataan Maddock.
Katanya, Sabah adalah destinasi yang agak jauh dan rakyat Hungary hanya mengenali Borneo tetapi tidak mengenali Sabah.

“Borneo cukup terkenal di Hungary kerana alam semula jadi yang indah, termasuklah laut dan pantai serta kawasan pergunungan popular.

"Sekiranya anda menyebut tentang Borneo, semua orang tahu ia ada di Asia Selatan, jika Borneo dan Sabah digabungkan, rakyat pasti tahu tentang destinasi ini dan semestinya akan mengunjungi Sabah,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa penerbangan terus dari Budapest ke Sabah tidak dapat dilaksanakan.

Beliau mencadangkan agar cara yang lebih mudah bagi warga Hungary untuk terbang ke Sabah adalah melalui penerbangan sambungan ke Dubai atau Istanbul berbanding terbang ke Shanghai dari Budapest untuk pergi ke Sabah.

"Bagi warga Hungary, sambungan penerbangan dari Dubai atau Istanbul ke Malaysia dan Sabah lebih sesuai melalui syarikat penerbangan tambang murah, selain daripada Emirates dan syarikat penerbangan lain untuk sampai ke Sabah.

“Istanbul sangat penting bagi Turki kerana ia terletak di sempadan antara Eropah serta Asia dan berfungsi sebagai jambatan untuk ke Afrika, Asia, Timur Tengah dan juga Eropah,” katanya.

Presiden merangkap Ketua Pengarang Agensi Akhbar Diplomatik, Dr Anna Popper turut menyatakan hasratnya untuk mewujudkan ruangan berkenaan Borneo.

“Saya akan menulis artikel mengenai Borneo kerana saya merasakan ia sangat penting berikuyan Wilayah Borneo ini tidak diketahui orang ramai.

“Sebagai pengamal media, saya perlu mempromosikannya sebagai sebahagian daripada Malaysia kerana destinasi ini sangat penting dan sebuah negara yang berjaya dengan keindahan alam semula jadi menakjubkan,” katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 02:43 PM GMT+8 , Processed in 0.054650 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list